AKTRES berdarah kacukan Melayu-Inggeris, Diana Danielle mendedahkan dirinya berdepan memori hitam apabila pernah didera secara fizikal oleh bekas kekasihnya.
Pengakuan itu dikongsikan sendiri Diana,31, ketika ditanya oleh pelakon Amelia Henderson menerusi Studio Sembang di saluran Youtube.
Jelas Diana, dia dipukul sehingga meninggalkan kesan benjolan besar di bahagian tengkuk dan ketika kejadian itu berlaku, dia baharu sahaja tamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Ketika itu saya baru habis SPM. Saya ada big lump (benjol) di belakang tengkuk disebabkan dipukul bekas teman lelaki sebelum saya menjalinkan hubungan dnegan suami (Farid Kamil).
“Saya didera secara fizikal oleh individu itu. Saya keluar daripada hubungan itu selepas dia ‘sentuh’ saya untuk kali pertama.
“Saya gembira tidak lagi berada dalam perhubungan itu. Saya tahu apa yang saya inginkan dalam diri saya.
“Sesiapa sahaja (lelaki) letak tangan di anggota badan anda, tolong keluar daripada hubungan toksik itu,” katanya.
Ujar Diana, dia menemui ketenangan selepas bertemu dengan suaminya, Farid.

“Bila saya jumpa Farid waktu itu, saya berasa tenang, lebih fokus dan dia salurkan energi positif yang saya amat kagumi.
“Sebelum berkahwin dengan Farid, saya pernah bekerja dengannya dalam beberapa projek seni. Saya sentiasa dambakan dan selalu bermimpi tentangnya. Saya juga memang peminat dia.
“Saya yang mula-mula jatuh cinta dengannya sebelum dia jatuh cinta dengan saya. 10 tahun perkahwinan dan 15 tahun perkenalan. Itulah cinta,” ujarnya.
Diana dan Farid berkahwin pada 2012 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata bernama Muhammad dan Nur Aurora.

