HAMPIR setahun bergelar ibu tunggal, pelakon Anita Baharom, 39, kini bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Engku Isyamuddin Tuan Losin, 48, dengan sekali lafaz, pukul 11.50 pagi tadi.

Pasangan itu dinikahkan oleh abang pengantin perempuan, Zulkifly Baharom dengan mas kahwin berupa tiga dinar emas.

Majlis berlangsung di Bizmilla Garden Hall, One City Subang Jaya itu dihadiri lebih 100 tetamu.

Anita yang mengenali suaminya sejak 2017, tetapi hanya kembali berhubung selepas tempoh edah tamat pada Mei lalu, melahirkan rasa kesyukuran atas kelancaran majlis yang dirancang sejak sebulan lalu.

“Alhamdulillah saya bersyukur kerana majlis pada hari ini berjalan dengan lancar.

“Saya berterima kasih kepada anak-anak kerana merestui perkahwinan ini. Tidak ketinggalan ahli keluarga yang membantu dalam memastikan kelancaran majlis hari ini,” katanya memetik laporan BH Online.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami Anita Baharom meninggal dunia

Untuk rekod, Anita pernah mendirikan rumah tangga dengan penerbit televisyen Mohd Ismadi Ismail.

Namun, Ismadi meninggal dunia pada 1 Januari lalu.

Hasil perkongsian hidup selama 16 tahun, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Syifa Dhia Nurina, 15, Mohamad Dhia Iskandar, 11, dan Mohamad Dhia Mikail, 8.

Sementara Engku Isyamuddin pula bergelar bapa tunggal kepada lapan cahaya mata dan ini merupakan perkahwinan kelimanya.

SUMBER: Berita Harian