Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim.

PENJENAMAAN semula Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) disifatkan mungkin lebih sesuai berbanding cadangan untuk memansuhkan terus entiti berkenaan.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pihaknya memohon supaya cadangan membubarkan GIACC diteliti dengan lebih lanjut.

Beliau berkata, ini kerana penjenamaan semula GIACC mungkin lebih sesuai dengan segala hal yang berkaitan antirasuah boleh diserahkan terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang cukup mahir dan lebih dikenali dalam segala hal yang berkaitan.

Menurut Jais, banyak usaha baik GIACC untuk menyelamatkan negara daripada rasuah, namun perkara itu kurang kedengaran.

Katanya, sejak ditubuhkan pada 2018, agensi itulah sebenarnya yang menggerakkan usaha tadbir urus dan integriti negara.

“MCW sedar bahawa GIACC merupakan penyelaras kepada kesepaduan tindakan inisiatif governans, integriti dan antirasuah di mana kita sebenarnya dapat lihat peranan GIACC ini dalam menggerakkan pelaksanaan dasar-dasar atau inisiatif yang baharu berkaitan tiga aspek ini dengan kementerian dan agensi kerajaan lain.

“Peranan GIACC sangat besar terutama dalam memastikan Malaysia mempunyai sebuah kerajaan berintegriti dan bukannya dikenali sebagai sebuah negara yang mana amalan rasuah berlaku sewenang-wenangnya.

Baca artikel berkaitan: Majlis Pemulihan Negara dibatalkan, GIACC diteliti – PM Anwar

“GIACC adalah cerminan keseriusan kerajaan dalam usaha untuk membanteras rasuah terutama dalam kalangan penjawat awam yang masih berada pada tahap membimbangkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Jais menegaskan, penjenamaan semula GIACC itu nanti memainkan peranan penting dalam memastikan integriti pentadbiran dan menyokong usaha pertumbuhan ekonomi serta pembangunan negara.

Jelasnya, kegagalan terhadap memastikan kepatuhan dalam tadbir urus yang baik boleh mengakibatkan berlaku banyak masalah dalam pentadbiran kerajaan seterusnya memberi implikasi besar kepada negara.

“GIACC yang lebih segar dan agresif pastinya dapat mengembalikan keyakinan rakyat dan menguatkan operasi kerajaan dengan sistem nilai yang lebih baik.

“Sistem hebahan yang lebih berkesan amat diperlukan kerana tanpa publisiti, masyarakat dan penjawat awam tidak tahu tentang kewujudan agensi penyelaras dan perancang strategi di peringkat dasar seperti ini.

“Pemerkasaan SPRM dalam pelbagai hal berkaitan antirasuah terutama penetapan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) sebagai pusat latihan wajib untuk ahli-ahli politik muda negara amat diperlukan segera bagi membuktikan kemahuan politik kerajaan hari ini,” jelas beliau.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media Rabu lalu memaklumkan kerajaan sedang meneliti cadangan untuk membubarkan GIACC.

Perdana Menteri berkata, ia selepas banyak fungsi GIACC itu didapati berlaku pertindihan antara agensi penguat kuasa iaitu SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram