Operasi mencari dan menyelamat (SAR) di tapak kejadian tanah runtuh tapak perkhemahan Father's Organic Farm masih diteruskan. GAMBAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat

BERAPA berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Betapa sedih dan simpati orang lain, tidak akan sama kepiluan ditanggung ahli keluarga mangsa tragedi runtuh di kawasan perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Batang Kali—Genting Highlands pada 16 Disember lalu yang meragut 31 nyawa.

Kesemua yang mati tertimbus telah ditemui dan dikenal pasti. Yang terkorban tujuh kanak-kanak lelaki, empat kanak-kanak perempuan, enam lelaki dewasa dan 14 wanita dewasa. Mereka adalah  ahli rombongan perkhemahan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Mun Choong, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, sempena cuti sekolah.

Usaha mencari seorang lagi mangsa tanah runtuh giat dijalankan hari ini. GAMBAR BERNAMA

Perkhemahan yang sepatutnya menyeronokkan sebaliknya mendatangkan kesayuan. Tanah runtuh dari ketinggian cerun lebih kurang 80 meter di tebing jalan Batang Kali-Genting Highlands menimbus kawasan perkhemahan di bawahnya pada keluasan 120 meter lebar dan 330 meter panjang. Anggaran runtuhan tanah ialah 450,000 meter isi padu. 

Menurut Jabatan Kerja Raya (JKR), dua runtuhan cerun yang berlaku dalam sela masa 20 hingga 30 minit di lokasi kejadian meranapkan tiga tapak perkhemahan Father’s Organic Farm. Kegagalan cerun pertama berlaku di kawasan perkhemahan menyebabkan kawasan di kaki cerun jalan raya jadi lemah. Akibatnya berlaku runtuhan susulan yang lebih kuat.

Laluan Batang Kali-Genting Highlands kini ditutup setahun bagi membolehkan kerja-kerja membaiki cerun dijalankan dengan penuh teliti dan komprehensif bagi mengelak kejadian berulang.

Susulan kejadian, timbul cerita pemilik ladang tidak mempunyai permit untuk menganjurkan perkhemahan. Memetik Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, tiga tapak perkhemahan terlibat beroperasi secara haram sejak 2020.

Kebenaran diberi oleh Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) pada 2019 hanyalah untuk operasi ladang organik sahaja. Tindakan boleh diambil terhadap pemilik kerana melanggar peraturan di bawah Akta Jalan, Saliran dan Bangunan 1974 yang memperuntukkan hukuman penjara dan denda.

Sebaliknya, jurucakap Father’s Organic Farm, Frankie Tan, berkata pihaknya tidak memohon lesen tapak perkhemahan kerana permit seperti itu tidak wujud. Dia mendakwa, pelbagai agensi kerajaan, termasuk Jabatan Pertanian, memaklumkan tiada lesen sedemikian boleh dipohon oleh penguasaha tapak perkhemahan kerana ia bukan struktur kekal seperti hotel.

Inilah senario yang kerap berlaku, tudung menuding setelah kejadian berlaku. Jika lesen operasi diperlukan, kenapa sebelum kejadian tidak ada pemantauan dibuat atau tindakan diambil oleh pihak berkuasa kerajaan tempatan? Mungkin sebelum ini sudah kerap diadakan aktiviti perkhemahan di kawasan terbabit. Tetapi kerana tidak berlaku kejadian tidak diingini, ia berlalu begitu sahaja.

Atau memang benarkah tapak perkhemahan tersebut, dan di mana-mana juga, tidak memerlukan lesen operasi? Pihak berkuasa tempatan mesti memberi pencerahan sekali pun menteri telah mengeluarkan kenyataan. Penjelasan tepat amat berguna menjadi panduan dan peringatan kepada yang ingin menganjurkan perkhemahan pada masa hadapan.

Jangan hanya bunyi bising selepas kejadian berlaku. Sebagai perbandingan, situasi ini sama seperti apabila berlaku kemalangan maut yang melibatkan pemandu kenderaan berat seperti lori dan treler.

Anggota mencari dan menyelamat (SAR) tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali membawa keluar mayat mangsa terakhir tragedi itu semalam. GAMBAR: Facebook NADMA

Kenderaan berat paling kerap menjadi punca kemalangan. Maklum mereka bagai raja di jalan raya. Kemalangan melibatkan kenderan berat sering mengakibatkan kematian atau cedera parah kepada pemandu kenderan kecil atau penggguna jalan lain.

Ada sahaja alasan diberi. Paling kerap ialah brek tidak berfungsi. Kenderaan lain di jalan raya dilanggar melulu, malah yang sudah berhenti pada lampu isyarat pun dirempuh. Tidak kurang pula ada pemandu yang terlibat di bawah pengaruh dadah atau minuman keras tetapi berada di jalan raya.

Setelah berlaku kemalangan meragut nyawa, barulah pihak berkuasa bersuara. Timbullah kisah pemandu kenderaan berkenaan mempunyai puluhan saman jalan raya yang belum dijelaskan. Atau pemandu minum serta menagih dadah ketika memandu.

Penjelasan ini bagai memberi justifikasi kenapa kemalangan itu berlaku, iaitu pemandu cuai serta telah melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas. Kenapa tiada tindakan awal diambil terhadap pemandu pada kali pertama kesalahan dilakukan?  

Kenapa biarkan pemandu ganas terus bermaharaja lela membahayakan orang lain? Seolah-olah pihak berkuasa, seperti polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), bersikap acuh tidak acuh terhadap saman yang mereka keluarkan. Setelah berlaku kemalangan baru hendak terkejut!

Mungkin kerana tidak berlaku kemalangan maut, jadi tidak apa membiarkan pemandu sedemikian mengancam keselamatan orang lain. Sikap ‘tidak apa’ inilah yang menyebabkan mereka tidak peduli kerana sekali pun sudah melakukan pelbagai kesalahan tiada tindakan diambil. Sepatutnya lesen dan permit memandu pesalah tegar ini digantung atau dibatalkan.

Setelah berlaku kemalangan mengorbankan jiwa, sudah lewat untuk mengambil tindakan pencegahan. Ia tidak dapat membantu memperbaiki kerosakan.  

Inilah juga realiti tragedi di Batang Kali. Sudah menjadi kebiasaan, dalam banyak hal sikap sudah terhantuk baru tengadah menjadi amalan. Langkah beringat diabaikan. Namun malangnya, walau pun pernah tengadah, kerap pula terhantuk lagi kerana mudah lupa dan tidak mengambil iktibar daripada pengalaman lalu.

Rasa marah, kesal terhambur hanya apabila tragedi berlaku. Setelah keadaan sejuk, ia akan senyap dan dilupakan. Pengawasan, pemantauan dan ingatan tragedi lalu juga terpadam. Tunggulah berlaku tragedi sekali lagi baru hendak kembali bising. Selepas itu akan senyap kembali. Begitulah seterusnya.