KERAJAAN sepatutnya mengkaji bagaimana untuk menambah baik peruntukan yang ada di dalam Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau SOSMA dan bukannya menghapuskan akta itu.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, SOSMA memberi ruang dan kuasa kepada pihak polis menahan mana-mana pihak bagi membantu sesuatu siasatan.
“SOSMA tak sama dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Kalau ISA, mereka ditahan 60 hari tanpa bicara mahkamah.
“Berbeza dengan SOSMA yang memberi kuasa kepada pihak polis untuk menahan seseorang selama 28 hari bagi menjalankan siasatan.
“Individu tersebut akan dibebaskan kemudian sekiranya tiada pertuduhan mahkamah daripada polis. Jadi, saya menganggap SOSMA perlu dikekalkan, review untuk baiki semula, bukan untuk hapuskan,” katanya seperti dilapor FMT.
Baca artikel lain: Siasatan tragedi tanah runtuh Batang Kali 90 peratus siap
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Pusat Pengumpulan Bantuan Banjir di Dewan Al-Mukhlisin, Alam Damai.
Musa menambah, polis memerlukan masa untuk melakukan siasatan agar penjenayah dikehendaki diberkas.
“Ada orang kata kita sudah ada prosedur jenayah di mana kita boleh tahan seseorang selama 14 hari.
“Tempoh 14 hari itu memang tak cukup bagi pihak polis melakukan siasatan, maka penjenayah boleh melepaskan diri. Ini menyusahkan kerja siasatan polis,” katanya lagi.
Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution bersetuju mengkaji dan mengadakan perbincangan mengenai SOSMA.
Katanya, keputusan itu diambil selepas satu mesyuarat diadakan dan antara isu dibincangkan adalah mengkaji SOSMA dengan lebih lanjut bagi menangani aspek yang menerima kritikan seperti peruntukan menghadkan pemberian jaminan bagi individu ditahan.
Seksyen 4(5) SOSMA membenarkan polis menahan seseorang yang disyaki terlibat dalam kegiatan keganasan untuk tempoh tidak melebihi 28 hari bagi siasatan tanpa perintah mahkamah.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

