SOSMA: Penambahbaikan bagi imbangi keselamatan negara, hak asasi individu

Dari Penulis

PENAMBAHBAIKAN terhadap Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) adalah bagi mengimbangi keperluan keselamatan negara dengan hak asasi individu selain memastikan ia berkesan dalam menangani aktiviti jenayah serius, kompleks dan berstruktur yang mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata susulan itu Kementerian Dalam Negeri (KDN) merumuskan tiga hala tuju untuk membuat penambahbaikan terhadap SOSMA.

“Pertama kerajaan akan membuat semakan semula terhadap senarai atau jadual kesalahan-kesalahan yang tidak boleh dijamin mutlak dan kesalahan yang boleh dijamin dengan budi bicara mahkamah mengikut tahap keseriusan.

“Ada 73 kesalahan yang terangkum di bawah akta ini dan mulai sekarang kita akan semak balik dan kita akan tengok kesalahan apa yang kita kekal kategori sebagai tidak boleh dijamin dan kesalahan apa kita akan beri mahkamah untuk membenarkan ikat jamin,” katanya pada sesi penerangan menteri mengenai SOSMA di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Saifuddin Nasution berkata kerajaan juga akan mengkaji keperluan dan kesesuaian untuk mewujudkan Mahkamah Khas SOSMA seperti Mahkamah Khas Rasuah dan Mahkamah Khas Jenayah Seksual Kanak-Kanak supaya kes berkaitan SOSMA tidak menunggu lama untuk dibicarakan.

Saifuddin Nasution berkata kerajaan juga akan mengkaji pindaan terhadap Seksyen 30 SOSMA untuk membenarkan tahanan diikat jamin sementara menunggu proses undang-undang seperti perbicaraan dan rayuan mahkamah selesai.

Beliau berkata pada masa ini, seseorang yang dituduh di bawah SOSMA tidak boleh dijamin kecuali kanak-kanak berusia bawah 18 tahun, wanita atau seorang yang sakit atau uzur tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

Baca artikel lain: Sijil Alternatif Sekolah Menengah dikeluarkan 26 Februari ini

Susulan itu, Saifuddin Nasution berkata beliau akan segera mengumumkan pembentukan sebuah Jawatankuasa Khas untuk memperhalusi cadangan pindaan itu bagi membolehkan ia dibawa ke Parlimen secepat mungkin.

“Lagi cepat Jawatankuasa Khas ini menghasilkan dapatan, lagi cepat kita dapat bentang di Parlimen kerana kita ada sesi (persidangan) pada Julai dan biar itu jadi garis masa untuk menunjukkan kesediaan kita yang sentiasa terbuka dalam menambah baik dasar perundangan, peraturan serta usaha untuk memperkasa keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata sementara penambahbaikan SOSMA dilakukan, ia tidak bermakna Kerajaan MADANI mengambil sikap sambil lewa atau memandang ringan terhadap keperluan undang-undang bagi menangani ancaman jenayah keganasan dan jenayah terancang yang sebenarnya masih lagi wujud dalam negara ini.

“Ini membuktikan kesediaan kita untuk berganjak daripada status quo sekarang, tetapi tidak sama sekali mengabaikan prinsip dan tanggungjawab menjaga keamanan dan ketenteraman sambil memastikan hak asasi mereka yang terlibat terjaga,” katanya.

SOSMA merupakan akta baharu yang digubal pada 2012 menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA).

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

UMNO berhak tentukan hala tuju sendiri menjelang pilihan raya – Asyraf Wajdi

UMNO menegaskan parti itu mempunyai hak mutlak untuk menentukan pendirian dan hala tuju politiknya sendiri menjelang mana-mana pilihan raya,...

More Articles Like This