Zuraida antara 11 pemimpin dipecat PBM

Dari Penulis

BEKAS Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin, Setiausaha Agung Parti Bangsa Malaysia (PBM), Nor Hizwan Ahmad antara 11 individu yang digugurkan jawatan dan dipecat dari parti itu.

Langkah itu dibuat selepas mereka gagal memberi maklum balas kepada Jawatankuasa Disiplin PBM dalam tempoh tujuh hari.

Mereka antara 13 individu yang diberi surat tunjuk sebab oleh Jawatankuasa Disiplin PBM pada 19 Dis lalu.

Selain Zuraida dan Hizwan, PBM juga memecat Naib Presiden 1, Rahimah Majid; Naib Presiden 2, Dr Sathiskumar; Naib Presiden 3, Muhammad Saiful Bahari Sahari; Ketua Pemuda, Na’im Brundage; dan Ketua Penerangan, Zakaria Abdul Hamid.

Turut dipecat empat Ahli Majlis Tertinggi PBM Abd Aziz Ab Kadir, Zakaria Abdul Rahim, Roger Tan Seng Huat dan Albakri Salim.

Bagaimanapun PBM hanya memecat Timbalan Presiden 1 Haniza Mohamed Talha dan Ketua Wanita, Dr Daroyah Alwi dari jawatan, dan mereka berdua masih kekal sebagai ahli biasa.

Menerusi kenyataan, unit penerangan PBM memaklumkan bahawa tindakan ke atas 13 individu itu dibuat selepas Ahli Jawatankuasa Disiplin membuat perbincangan lanjut hari ini mengikut Perlembagaan parti.

“Mereka telah diberi peluang untuk menjelaskan dan membela diri dan diberi tempoh tujuh hari, akan tetapi telah gagal memberikan maklum balas kepada Jawatankuasa Disiplin Parti PBM.

“Maka dengan ini, demi kepentingan Parti PBM, Jawatankuasa Disiplin PBM telah membuat keputusan bahawa keahlian, jawatan individu-individu tersebut ditamatkan berkuat kuasa serta-merta pada 27hb Disember 2022,” menurut kenyataan itu, lapor Free Malaysia Today.

Zuraida sebelum ini turut menyifatkan Presiden PBM Larry Sng sebagai tidak matang dan angkuh dalam menguruskan PBM selain membuat ugutan.

Susulan itu Sng memberi respons kepada Zuraida supaya berhenti daripada politik dan muhasabah diri kerana pengundi di Ampang turut menolak bekas menteri itu pada pilihan raya umum ke-15.

Kemelut melanda PBM semakin parah apabila Sng menggantung keahlian dan jawatan 12 Ahli Majlis Tertinggi parti itu, kerana mendakwa penglibatan individu berkenaan didapati menggugat kepentingan parti dan kepimpinan.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Remaja 17 tahun maut Honda Wave terlibat kemalangan dengan lori

SEORANG remaja berusia 17 tahun maut selepas motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori...

More Articles Like This