Haramkan wanita ke universiti langkah terkebelakang Taliban – Pemuda Pas

Dari Penulis

KEPUTUSAN kerajaan Taliban di Afghanistan untuk melarang wanita belajar di universiti adalah langkah terkebelakang yang dilaksanakan oleh kumpulan itu.

Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pendidikan adalah asas yang amat penting bagi membina sebuah tamadun yang sejahtera bahkan Islam menekankan umatnya untuk mencari ilmu bagi memajukan diri serta masyarakat.

Menurutnya, pendidikan juga menjadi suatu wadah yang amat penting dalam membina sebuah peradaban, bukan sahaja kaum lelaki, malah golongan wanita juga turut memainkan peranan dalam perkembangan ilmu.

“Atas sebab itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia menzahirkan kebimbangan terhadap polisi Kerajaan Islam Afghanistan, yang menggantung akses wanita negaranya daripada memasuki universiti di negara tersebut.

“Sebelum ini, Taliban membenarkan pelajar wanita untuk menyambung pengajian mereka ke peringkat universiti dengan syarat tertentu.

“Malangnya, polisi ini digantung sementara selepas arahan terbaru yang dikeluarkan tempoh hari. Ini sebuah langkah terkebelakang yang dilaksanakan oleh mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) berkata, tanpa sekalipun menafikan kewajipan untuk menutup aurat kepada semua umat Islam, tindakan kerajaan Taliban dilihat sebagai perkara yang tidak tepat pada pelaksanaannya.

Katanya, langkah itu juga tidak wajar berlaku dalam memastikan budaya keilmuan terus berkembang dari semasa ke semasa.

“Terdapat kaedah-kaedah perlaksanaan lain yang lebih sesuai, serta boleh dikuatkuasakan dalam memastikan isu hijab ini boleh dilaksana, di samping hak pendidikan kepada seluruh warganegara juga terjaga.

“Dalam melaksanakan sesuatu perubahan, ianya mestilah dibuat secara berhati-hari dan tidak bersifat drastik sehingga mencemarkan nama Islam.

“Rasulullah SAW juga pernah mengajar umatnya untuk melakukan perubahan secara berperingkat atau “Tadarruj”. Ini penting bagi memastikan penerapan nilai Islam dalam perubahan tersebut, agar ia mencapai maqasid syariah yang digariskan serta tidak menjadi fitnah yang mencemarkan nama Islam itu sendiri,” jelasnya.

Pada 20 Dis, kerajaan Taliban mendapat kritikan global kerana menggantung akses untuk pelajar perempuan ke universiti sehingga diberitahu kelak – mendakwa ini kerana mereka tidak mematuhi “kod berpakaian” yang betul.

Taliban juga berkata beberapa mata pelajaran seperti kejuruteraan dan pertanian, tidak sesuai untuk kaum wanita.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Remaja 17 tahun maut Honda Wave terlibat kemalangan dengan lori

SEORANG remaja berusia 17 tahun maut selepas motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori...

More Articles Like This