TAHUN 2022 kita dikejutkan dengan berita pemergian anak seni yang tiada galang gantinya.
Biarpun jasad mereka tiada lagi di dunia, namun sumbangan mereka dalam industri seni kreatif tetap terus dikenang sepanjang zaman.
Menerusi #URTVRECAP2022, jom kita singkap kembali gugurnya permata seni yang tidak ternilai kepada negara.
Pian Cecupak

PELAWAK dan pengacara, Pian Cecupak atau Mohd Rafik Abdul Raman, 52, meninggal dunia akibat serangan jantung sekitar pukul 8 malam pada 26 Januari lalu Ketika berada di kediaman ibunya di Taman Datuk Senu, Sentul, Kuala Lumpur.
Arwah mempunyai masalah jantung sejak 2018 dan hanya bergantung kepada ubat. Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves, Selangor.
Hamid Gurkha

PELAWAK legenda, Hamid Gurkha meninggal dunia pada usia 90 tahun akibat penyakit tibi dan beberapa komplikasi lain di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada 14 Jun, pukul 2.19 petang.
Adibah Noor

PENYANYI Adibah Noor menghembuskan nafas terakhirnya pada 18 Jun di Hospital Gleneagles, pukul 7.40 malam akibat kanser ovari tahap empat.
Pemergian Allahyarham mengejutkan ramai rakan artis yang rata-rata tidak mengetahui penyanyi Terlalu Istimewa itu selama ini menderita penyakit kanser.
Aman Shah

PENYANYI yang popular dengan lagu Kepulangan Yang Dinanti, Aman Shah meninggal dunia pada 14 September akibat serangan jantung.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di Unit Rawatan Koronari (CCU) Institut Jantung Negara (IJN), pukul 2 petang, pada usia 68 tahun.
Selain sakit jantung, arwah turut menghidap penyakit kencing manis. Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Alam Damai, Cheras.
Bob Lokman

PELAKON dan penulis lirik, Bob Lokman meninggal dunia di kediamannya di Kubang Kerian, Kelantan akibat komplikasi jantung pada 23 September lalu. Bob atau Mohd Hakim Lokman,58, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 3 petang
Arwah juga sebelum ini sudah beberapa kali dimasukkan hospital dan pernah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Rawatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Kuantan, Pahang pada 8 April selepas alami masalah cepat penat.
Jenazah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Bunut, Kubang Kerian.
Hisham Ahmad Tajudin

PELAKON Hisham Ahmad Tajudin meninggal dunia pada usia 76 tahun di Hospital Shah Alam akibat jangkitan kuman dalan paru-paru pada 12 Oktober.
Allahyarham sebelum itu ditidurknan di Wad Kebergantungan Tinggi (HDW) di HSA sejak akhir bulan September sebelum menghembuskan nafas terakhirnya di sisi ahli keluarga.
Syazlin Zainal

PELAKON Syazlin Zainal,26, yang meninggal dunia pada 10 November telah disahkan akibat terjatuh dari tingkat 22 sebuah pangsapuri di Taman Iskandar, Johor Bharu.
Syazlin yang juga pempengaruh media sosial itu pernah berlakon dalam beberapa drama antaranya Sitik Tok, Dia Yang Ku Jadikan Suami, Takdir Yang Tertunda, Oh My Hantaran dan Ada Yang Ngikut.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat AU2.
Azhari Zain

PENGARAH filem Azhari Zain,50, meninggal dunia selepas Sembilan bulan menderita penyakit angin ahmar di kediamannya di Sunway Alam Suria, Shah Alam pada 24 November.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru, Klang pada pukul 10.30 pagi.