Calon PSB di Parlimen Lubok Antu pada PRU-15, Dr Johnical Rayong Ngipa.

CALON Parti Sarawak Bersatu (PSB) di Parlimen Lubok Antu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Dr Johnical Rayong Ngipa menfailkan, petisyen membantah keputusan bagi kerusi itu di Mahkamah Tinggi hari ini.

Dr Johnicol berkata, ini kerana beliau tidak berpuas hati selepas Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) Parlimen Lubok Antu, Richard Ngumbang enggan melayan permintaannya untuk membuat kiraan semula undi.

Selain itu, dakwanya, wujud keraguan apabila jumlah majoriti terlalu kecil iaitu 100 undi dan ia diperoleh daripada peti undi terakhir yang tiba di pusat penjumlahan kira-kira jam 9.30 malam.

“Selepas menyedari sesuatu yang meragukan, kira-kira jam 10.30 malam (19 November 2022), saya memohon agar pengiraan semula diadakan, namun RO tidak membenarkannya tanpa memberikan sebarang alasan.

“Satu peti undi yang terakhir tiba pada jam 9.30 malam itu adalah dari pusat pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Ijok,” dakwanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Kompleks Mahkamah Kuching, hari ini.

Baca artikel lain: Lebih 55,000 banjiri Bukit Jalil untuk aksi Harimau Malaya

Dr Johnical mendakwa, lebih meragukan apabila peti undi itu hanya tiba di pusat penjumlahan dalam tempoh empat jam selepas pusat pengundian ditutup pada jam 5.30 petang.

Sedangkan, katanya, jarak di antara dua lokasi itu hanya memerlukan masa 45 minit perjalanan menaiki kereta.

Sementara itu peguamnya, Clement Wong berkata, terdapat tiga alasan untuk mereka mengemukakan petisyen berkenaan.

Alasan itu ialah dakwaan wujudnya rasuah am atau ugutan yang menjejaskan keputusan pilihan raya, mengikut Seksyen 32(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Seterusnya, dakwaan berlaku ketidakpatuhan terhadap peruntukan mana-mana undang-undang bertulis yang berkaitan dengan pengendalian mana-mana pilihan raya sehingga menjejaskan keputusan pilihan raya mengikut Seksyen 32 (b) akta sama.

Alasan ketiga pula ialah dakwaan wujudnya amalan rasuah berkaitan dengan pemilihan oleh calon dengan pengetahuan dan persetujuannya atau oleh mana-mana ejen calon mengikut Seksyen 32(c) akta sama.

Dalam pertandingan empat penjuru di kerusi Parlimen itu, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Roy Angau Gingkoi menang selepas mendapat 6,644 undi, manakala Johnical memperoleh 6,544 undi; Jugah Muyang mewakili Perikatan Nasional (PN) (5,360); dan calon Bebas, Langga Lias (746).

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram