EMPAT Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang Dipertua Dewan Rakyat menentukan nasib mereka berhubung isu keluar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ahli Parlimen Sipitang, Matbali Musah berkata, mereka sudah menghantar jawapan kepada Speaker Datuk Johari Abdul dua hari lalu dan kini hanya menunggu keputusan.
“Kita serahkan atas kebijaksanaan beliau (Speaker Dewan Rakyat). (Jawapan) sudah dihantar dua hari yang lalu, saya tidak ingat isi kandungannya tetapi semua memang sudah hantar.
“Kita cuma maklumkan yang kita bertanding atas GRS, kita GRS,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada majlis penyerahan kepala singa kepada masyarakat Tiong Hua Sabah, hari ini.
Baca artikel lain: Tiket Malaysia-Thailand kurang kerana konsert Jay Chou: Peminat berang, Hannah cari penyelesaian
Ditanya sama ada usaha untuk mengosongkan kerusi itu relevan, beliau memaklumkan pihaknya masih menunggu keputusan daripada Speaker.
“Tidak apa, kita serahkan atas kebijaksanaan Speaker. Kita tidak akan komen lebih sebab kita masih tunggu,” katanya.
Ditanya jika beliau bersedia untuk mengosongkan kerusi Parlimen Sipitang, beliau berkata tiada masalah.
“Kita tunggu, tiada masalah,” katanya ringkas.
Sebelum itu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee memaklumkan, Bersatu telah menghantar notis kepada Speaker untuk memastikan telah berlaku kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli Dewan Rakyat menurut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.
Notis itu melibatkan empat ahlinya yang telah bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebagai ahli Bersatu dengan menggunakan logo GRS.
Selain Matbali, tiga lagi Ahli Parlimen berkenaan ialah Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi) dan Datuk Jonathan Yasin (Ranau).
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

