PENDAKWAH bebas, Ustaz Tarmizi Abdul Rahman mengakui terkesan apabila melihat video Datuk Yusof Haslam menitiskan air mata berhubung isu anaknya, Syamsul Yusof yang berkahwin dua tanpa memberitahu isteri pertama dan keluarga.
Sebagai seorang anak, Tarmizi memohon orang luar jadikan iktibar dengan apa yang berlaku dan berharap segera memohon kemaafan sekiranya ada menguris hati ibu dan bapa.
“Moga kita tidak menjadi anak-anak yang mengguris hati ibu dan ayah kita. Bagaimanapun, kita ini hanya manusia biasa. Kalau kita guriskan hati mereka, carilah kesempatan untuk memperbetulkan, memohon maaf dan menjernihkan kembali apa yang keruh.
“Pada saya, tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Semoga Allah beri panduan buat kita.
“Apa yang membuatkan saya tersentuh berkaitan isu ini adalah apabila seorang ayah menitiskan air mata. Seorang ayah ini jarang menitiskan air mata di khalayak ramai.
“Selalunya mereka ini lebih gemar menyendiri atau duduk termenung seorang diri dan menangis. Dia menitiskan air mata itu mungkin atas sebab kecewa. Namun, saya rasa jauh di sudut hatinya, mungkin dia berasa gagal sebagai seorang bapa.
“Ini hanya sekadar pandangan saya. Mungkin perasaan itu yang bermain di fikirannya. Mungkin juga dia menyalahkan dirinya sendiri,” katanya kepada URTV.
Tarmizi berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Program-Program Pembuka Tirai 2023 TV Al-Hijrah yang berlangsung di Hotel EDC, petang tadi.
Jelas Tarmizi, dia berharap isu yang hangat diperkatakan ketika ini berkenaan kisah rumah tangga akan dijadikan pengajaran buat semua pasangan suami dan isteri.
“Isu ini sangat sensitif tapi menjadi pengajaran buat saya sebagai suami serta individu lain yang masih memiliki ibu dan ayah serta keluarga mentua.
“Pada pandangan saya eloklah jika individu yang terbabit ambil satu langkah agar isu yang berlaku tidak lagi diperbesarkan. Saya harap isu ini dapat diselesaikan dengan baik,” ujarnya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

