abdul rahman mohamad

AHLI Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad tidak menafikan bahawa beliau antara yang termasuk dalam senarai 10 orang Ahli Parlimen (MP) yang menandatangani surat akuan berkanun (SD) menyokong pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Menteri Kerja Raya itu mendakwa beliau tidak tahu-menahu bahawa namanya tersenarai dalam salah seorang yang menandatangani surat SD tersebut kerana mendakwa ‘tidak menonton berita’.

“Saya tak nafi, tapi saya tak tahu. Kalau ada, apa masalah,” soalnya kepada pemberita selepas Ucapan Dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Ahmad Zahid sebelum ini mendedahkan nama 10 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk daripada UMNO yang menandatangani SD menyokong pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selepas PRU15.

“Ada nama saya? Saya tak perasan pula ada nama saya. Saya tak pernah tengok berita,” katanya memetik laporan Astro Awani.

Pendedahan itu dibuat Timbalan Perdana Menteri itu ketika berucap pada sesi taklimat khas Presiden UMNO yang diadakan secara tertutup sempena PAU2022, kelmarin.

Semalam, beliau mengakui telah memaafkan tindakan 10 Ahli Parlimen terbabit dan akan terus memantau bersama Lembaga Disiplin parti mengenai pendirian mereka, atau jika ada sebarang gerakan.

Sementara itu, menyentuh mengenai ucapan Ahmad Zahid yang dilihat seperti berbaur sindiran kepada individu tertentu, Abdul Rahman bertindak menafikannya.

“Bukan sindiran. Itu maksudnya, menasihati kita, UMNO ini, supaya bersatu kembali. Itu bukan sindiran. Tafsiran (masing-masing) sahaja (mengatakan) sindiran,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram