WALAUPUN tewas pada perlawanan pertama semalam, namun skuad Speedy Tigers tidak rela berputih mata apabila bertemu Chile dalam perlawanan kedua Piala Dunia Hoki 2023 di Rourkela, India.
Penjaga gol negara, Muhammad Hafizuddin Othman menyifatkan perlawanan menentang Chile pada pukul 3.30 petang waktu Malaysia, esok adalah amat penting bagi meneruskan cabaran pada kempen kali ini.
Menurut Muhammad Hafizuddin, beliau dan rakan sepasukan akan memperbetulkan kesilapan sewaktu pertemuan dengan Belanda, semalam bagi mengutip tiga mata.
Namun begitu, penjaga gol utama negara itu tidak mahu memandang rendah keupayaan Chile meskipun pasukan di ranking ke-23 dunia itu tewas kepada New Zealand, semalam.
“Kita perlukan kemenangan kerana tiga mata amat penting untuk meneruskan cabaran di Piala Dunia ini.
“Walaupun mereka tewas 3-1 kepada New Zealand, kita tidak boleh pandang ringan terhadap pasukan itu. Kita akan terus berikan aksi terbaik untuk perlawanan esok,” katanya.
Muhammad Hafizuddin berkata demikian dalam rakaman video yang dimuatnaik ke Facebook Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), hari ini.
Baca artikel berkaitan: Hoki: Malaysia juarai Piala Sultan Azlan Shah, berakhirnya penantian 39 tahun
Mengulas lanjut, Muhammad Hafizuddin dan rakan sepasukannya juga berjanji untuk menampilkan aksi terbaik untuk perlawanan kedua itu.
Pada masa sama, beliau yang bertindak cemerlang menafikan beberapa percubaan berbahaya Belanda turut mengharapkan sokongan dan doa rakyat Malaysia buat Speedy Tigers.
Pada aksi pembukaan Kumpulan C semalam, Malaysia di bawah bimbingan A. Arul Selvaraj terpaksa akur dengan kekuatan juara tiga kali Belanda apabila tewas 4-0 di Stadium Birsa Munda sementara New Zealand turut mengutip tiga mata selepas mengatasi Chile 3-1.
Belanda kini menerajui carta kumpulan berkongsi tiga mata bersama New Zealand (kedua), manakala Chile (ketiga) dan Malaysia terakhir tanpa sebarang mata.
Mengikut format kejohanan, juara kumpulan akan terus mara ke suku akhir, manakala pasukan di tempat kedua dan ketiga akan beraksi menentang pasukan Kumpulan D (England, India, Sepanyol, Wales) pada pusingan kalah mati untuk slot ke suku akhir.
Penyertaan di India menjadi penampilan kesembilan skuad hoki negara di Piala Dunia sejak diperkenalkan pada 1971 dengan pencapaian terbaik meraih tempat keempat pada edisi 1975 ketika Malaysia menjadi tuan rumah.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

