MAHKAMAH Persekutuan membenarkan permohonan menangguhkan prosiding semakan sabitan kes SRC International Sdn. Bhd., melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 20 sehingga 22 Februari ini.
Permohonan itu dibuat oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib.
Panel lima hakim yang diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli menetapkan tarikh itu selepas Shafee memohon penangguhan berkenaan kerana dia memerlukan lebih banyak masa bagi menggulung hujahan lisannya.
Selain Abdul Rahman, hakim yang turut bersidang prosiding itu ialah tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.
Sementara itu, Shafee semasa berhujah berkata, permohonan untuk menangguhkan pendengaran rayuan oleh peguam, Hisyam Teh Poh Teik bagi pihak Najib adalah munasabah.
Katanya, perkara itu bukan luar biasa sekiranya mahkamah membenarkan penangguhan memandangkan peguam itu baharu dilantik.
Beliau turut menambah bahawa pihak pendakwaan juga tidak membantah permohonan untuk menangguh pendengaran rayuan itu.
“Mungkin kerana, pendakwaan sendiri menyedari kewajaran permohonan penangguhan oleh pasukan peguam dan peguam cara baharu, berdasarkan pengalaman mereka sendiri dalam pelbagai kes di mahkamah, termasuk Mahkamah Persekutuan.
“Oleh itu, agak pelik apabila Mahkamah Persekutuan tidak memberikan penangguhan antara tiga ke empat bulan bagi membolehkan peguam cara dan peguam bela baharu bersedia dengan baik,” katanya.
Menurut beliau lagi, timbul kecurigaan apabila Mahkamah Persekutuan tergesa-gesa untuk menyelesaikan prosiding rayuan itu sebelum memutuskan keputusan.
Katanya, kecurigaan itu timbul apabila tiada dakwaan atau bukti bahawa permohonan penangguhan itu adalah satu muslihat untuk melengah-lengahkan prosiding.
Muhammad Shafee sebelum ini mendakwa panel mahkamah tertinggi yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat tahun lalu telah terkhilaf dalam menafikan permohonan pasukan peguam Najib Razak untuk menangguhkan perbicaraan rayuan SRC.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

