Ibu muda didakwa tekup, cekik bayi sendiri hingga mati

Auzaee Athallah
Auzaee Athallah
Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

Dari Penulis

SEORANG ibu didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini atas pertuduhan mencekik dan menekup muka anak kandungnya yang berusia satu tahun enam bulan sehingga mati di sebuah kondominium di Cyberjaya, Januari lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Umishahirah Khalid yang mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman, pagi ini.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang berusia 21 tahun itu didakwa melakukan bunuh dengan niat sehingga menyebabkan kematian anak kandungnya, Muhamad Danish Nufail Abdul Muhaimin.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah unit kediaman di Vertex Tower, Cyber Square di Cyberjaya antara jam 5.52 petang dan 11.30 pagi antara tarikh 11 hingga 12 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang juga merupakan seorang kerani swasta didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Umishahirah Khalid,21, didakwa membunuh anak kandungnya yang berusia setahun enam bulan ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sepang, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sabrina Zubairi manakala tertuduh diwakili oleh peguam ganti, Johan Radzi yang menggantikan peguam utama, Farhana Abdul Halim.

Nur Sabrina membuat permohonan kepada mahkamah di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah supaya tertuduh dirujuk ke Hospital Hulu Kinta bagi pemeriksaan dan pemantauan mental.

Beliau juga mencadangkan mahkamah untuk menetapkan satu tarikh bagi sebutan serahan dokumen kes iaitu laporan pakar psikiatri, forensik, kimia dan bedah siasat.

Susulan itu, mahkamah menetapkan 20 Mac depanbagi sebutan semula kes berkenaan.

Sebelum ini media melaporkan seorang wanita dan teman lelakinya ditahan pada 16 Januari lalu selepas disyaki mencekik dan menekup bayi sendiri hingga mati.

Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata perbuatan kejam itu terbongkar apabila pihak polis menerima laporan daripada seorang doktor Hospital Cyberjaya memaklumkan telah menerima seorang pesakit kanak-kanak lelaki yang dihantar oleh ibu kandungnya dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Hasil pemeriksaan awal, doktor berkenaan mendapati ada pendarahan di kedua-dua belah anak mata yang berkemungkinan disebabkan oleh penderaan dan pesakit berada dalam keadaan kritikal.

Kanak-kanak malang itu disahkan meninggal dunia selepas tiga hari menerima rawatan.

Hasil soal siasat, suspek mengaku menekup muka mangsa menggunakan bantal semasa anaknya sedang tidur kerana mengalami tekanan perasaan akibat masalah rumah tangga serta keluarga.

Katanya, hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan kecederaan pada mangsa di bahagian pipi, gusi, dahi dan belakang pelipat kaki.

“Terdapat juga kesan calar di pipi kiri serta lebam di leher dipercayai akibat dicekik.

“Punca kematian disebabkan asfiksia ataupun kekurangan oksigen dipercayai berpunca dari tindakan ibu mangsa menekup muka mangsa,” kata Wan Kamarul Azran dalam satu sidang media, semalam.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Gempa bumi 7.9 magnitud landa Mindanao, gegaran dirasai di Sabah

SATU gempa bumi kuat dilapor telah berlaku di Mindanao, Filipina pada pukul 7.37 pagi tadi. Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam...

More Articles Like This