Bertenaga, menghiburkan dan menggamit nostalgia, begitulah gambaran konsert ‘Ne-Yo Live In Malaysia’ yang baharu sahaja melabuhkan tirainya malam tadi dengan disaksikan hampir 3000 peminat yang hadir memenuhi dewan Plenary Hall KLCC.

Malam konsert dimulai oleh Ne-Yo dengan persembahan bertenaga lagu paling hit ‘Miss Independent’ dan disusuli dengan She Knows, Because of You, One In A Million dan lain-lain, kemudian beliau mempamerkan kehebatan vokal melalui segmen akustik dengan lagu Do You, Mad dan You Should Let Me Love You diikuti dengan beberapa segmen lain memberi kepelbagaian mood persembahan ketika konsert.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal, penyampaian Ne-Yo cukup luar biasa dan penuh energetik.

“Luar biasa! Ne-Yo menjangkaui semua ekspektasi dengan memberikan persembahan yang penuh energetik dan mengimbau nostalgia peminat muzik R&B di awal tahun 2000.

“Walaupun dewan konsert menyediakan tempat duduk, ini bukanlah penghalang bagi penonton untuk turut berdiri dan bergembira sepanjang berlangsungnya persembahan,” ulasnya.

Penonton di dalam dewan terpaku selama kira-kira 80 minit sepanjang berlangsungnya persembahan kerana tiada momen ‘idle’ dari Ne-Yo yang membawakan bukan sahaja lagu-lagu ciptaannya sendiri bahkan hasil ciptaan untuk artis-artis terkemuka yang lain mempamerkan sisi berbeza dirinya sebagai penulis lagu dan juga komposer berbakat.

Menurut pengasas Happymoon, Kesavan Purusotman, pemilihan Ne-Yo adalah berdasarkan kepada pasaran market muzik yang besar di Malaysia selain namanya yang masih malar segar di kalangan peminat.

“Kami memilih Ne-Yo kerana terdapat fanbase yang besar di Malaysia, ramai  yang merindui lagu-lagu R&B nyanyian beliau dengan elemen hip-hop yang masih segar diingatan.

“Kebolehan Ne-Yo berinteraksi dengan penonton juga amat menakjubkan kerana berjaya mengajak kesemua yang hadir untuk turut serta bernyanyi selain membawa kembali kenangan manis sewaktu di alam remaja.

“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat terutamanya Happymoon kerana menjadikan kolaborasi ini sesuatu yang diluar jangkaan dan semoga perhubungan ini berterusan dengan pelbagai lagi persembahan menarik dan istimewa, tidak lupa juga kepada rakan penaja kami Mola Chill Club (Rakan Digital), Shangri La (Rakan Hotel) dan Radio Rasmi – Sinar FM, Mix FM, Lite FM dan Melody FM,” tambahnya lagi.