
MUKADIMAH: Kebanjiran etnik Rohingya di Malaysia sering menjadi perdebatan umum – ada yang menentang, ada juga yang menzahirkan rasa simpati dengan nasib dialami etnik tersebut. Namun, tingkah laku etnik Rohingya dikatakan semakin menjadi bebanan kepada negara. Ikuti pendedahan siri ketiga oleh wartawan, AFIQ MOHD SHAH, IZZAT NASURUDEN; jurugambar, ABD RAZAK AID dan juruvideo, AIZZAT JAILANI berhubung etnik Rohingya yang dikatakan semakin ‘bermaharajalela’ di Melaka.
MASALAH sosial akibat kemasukan tanpa had etnik Rohingya ke dalam Malaysia dilihat semakin membarah, baik di utara mahupun selatan tanah air.
Tidak terkecuali, di Melaka, khususnya di kawasan Jalan Pulau Senang 3, Semabok, kawasan ini yang dahulunya didiami penduduk tempatan kini dibanjiri warga Rohingya.
Dalam tempoh tiga tahun, bermula kira-kira 60 orang warga Rohingya, jumlah itu kini bercambah kepada lebih 200 orang.
Dengan jumlah yang semakin ramai, ada dalam kalangan warga Rohingya menjadi semakin besar kepala dan mula menujukkan ‘belang’ mereka.

Sifirnya mudah, kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menjadi ‘lesen besar’ buat etnik Rohingya melepaskan diri daripada undang-undang negara.
Pemegang kad UNHCR kini seolah-olah ‘kebal’ dan bebas melakukan apa-apa sahaja.
Perkara itu menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem, tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.
Tegas beliau, Kerajaan Persekutuan perlu membuat keputusan tegas bagi menyelesaikan isu kemasukan warga Rohingya ke dalam negara.
“Saya dah bawa ke Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) mengenai perkara ini tetapi maklum balasnya sama.
“Sampai ke hari ini, daripada sidang DUN Disember lalu, perkara ini masih belum dibawa ke Parlimen. Kita pun tidak tahu apa yang berlaku.
“Jadi saya berharap dengan pendedahan ini akan ada gelombang supaya kepimpinan di atas sedar, apa yang perlu dihadapi di sini. Jangan jadi Selayang kedua, Bukit Malut ketiga,” katanya kepada UtusanTV.
Baca lagi: Rohingya di Melaka: Berak di hadapan rumah, penduduk setempat tidak selesa
Mengulas lanjut, Mohd Noor Helmy turut mempertikaikan hujah segelintir pihak yang menyatakan Malaysia terikat dengan undang-undang UNHCR.
Beliau berkata, Malaysia sebenarnya hanyalah negara transit bagi pelarian dari negara lain dan tidak bertanggungjawab untuk menguruskan mereka.
“Kita pula bermasalah apabila negara lain tidak mahu menerima etnik Rohingya. Kita nak terima pun, perlu ada sempadan masa dan sempadan kuasa. Sekarang ini mereka berleluasa.
“Saya dah cuba bersuara di sidang dewan, agensi-agensi kerajaan tapi tidak ada maklum balas. Jawapannya sama, kita terikat dengan undang-undang UNCHR. Sampai bila kita nak biar rakyat sendiri tidak selesa,” katanya.
Kera dihutan disusukan, anak di rumah kelaparan
Sementara itu, Mohd Noor Helmy turut menzahirkan perasaan kecewa dengan sikap segelintir penduduk tempatan yang sanggup mementingkan wang untuk memberi keselesaan kepada warga Rohingya.

Jelas beliau, ada antara penduduk tempatan yang sanggup menyewakan tanah dan rumah mereka kepada warga Rohingya tanpa memikirkan kesan kepada penduduk tempatan yang tinggal berhampiran di situ.
“Saya ingin memberi kesedaran kepada orang tempatan yang turut bersubahat memberi keselesaan kepada etnik Rohingya atas duit yang tidak seberapa. Bagi sewa tanah, sewa rumah.
“Mereka seronok dapat kaut keuntungan bagi sewa kepada Rohingya, tapi langsung tidak memikirkan ketidakselesaan penduduk sekeliling.
“Ada kes, warga Rohingya sewa tanah dan jadikan tempat pusat pengumpulan besi buruk. Berlaku kebakaran sehingga hampir merebak ke rumah penduduk setempat. Warga rohingya ini hilang melarikan diri.
“Di samping itu, kita juga kesal dengan sikap segelintir penduduk tempatan yang ‘menjual nama’ mereka kepada warga Rohingya ini untuk urusan jual beli kenderaan.
“Apabila berlaku kemalangan, warga Rohingya ini melarikan diri. Kita tidak dapat kesan mereka. Yang dilanggar ini bagaimana mahu mendapatkan pampasan insurans,” katanya.
Ikuti siri keempat mengenai isu ini di UtusanTV esok.