WALAUPUN menerima berita pemecatan daripada UMNO dan tidak lagi mempunyai apa-apa jawatan dalam kerajaan, namun Khairy Jamaluddin mungkin telah menerima tawaran kerja selepas ini.
Ia selepas Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi bayangan kemungkinan menawarkan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Johor Darul Ta’zim (JDT) dan penasihat belia Johor.
Tunku Ismail yang juga pemilik JDT membuat ‘tawaran’ itu menerusi hantaran dalam media sosialnya.
TMJ turut memuat naik gambar bersama Khairy dalam hantaran berkenaan.
“Bakal CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) JDT dan penasihat belia Johor,” tulis Tunku Ismail dalam hantaran di Instagram Story.
Dalam hantaran di Facebook pula, Tunku Ismail menyifatkan Khairy sebagai seorang yang berpengalaman.
“Berpengalaman, terbukti, kenapa tidak,” titah Tunku Ismail lagi.
Sementara itu, Khairy turut membalas hantaran itu di Instagram rasmi beliau dengan gambar yang sama bersama baginda dengan komen: “One door closes, others will open. Rezeki di tangan Allah.”
Sebagai rekod, Khairy yang juga bekas ahli Parlimen Rembau itu sememangnya tidak asing dalam arena bola sepak.
Baca artikel berkaitan: ’23 tahun setia namun dibuang dalam masa sehari’ – Khairy
Beliau merupakan orang kuat dalam kewujudan rancangan realiti MyTeam yang kemudian turut bersaing dalam Liga Malaysia.
Pada masa sama, bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu juga pernah menjawat jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada tahun 2007.
Semasa menerajui Kementerian Belia dan Sukan, Khairy turut mencetuskan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) bagi melahirkan pemain muda berbakat.
Dianggap sebagai ‘pemimpin masa depan’, beliau juga pernah memegang jawatan Menteri Kesihatan.
Jumaat lalu, Khairy dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Noh Omar menyertai senarai pemimpin UMNO terbaharu yang dipecat selepas bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa dan Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kasim.
Keputusan pemecatan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

