Penggantungan Hanis Nadiah sangat keras, Hannah digesa campur tangan – PN

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

TINDAKAN penggantungan terhadap pemain hoki wanita negara, Hanis Nadiah Onn disifatkan sangat keras berbanding dengan kesalahan yang dilakukan.

Pengerusi Jawatankuasa Portfolio Belia dan Sukan, Ahli Dewan Rakyat Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari berkata, ini kerana Hanis Nadiah sendiri telah memohon maaf secara terbuka terhadap ciapan yang dibuatnya.

Pada masa sama, beliau berkata, pemain hoki berusia 26 tahun itu juga telah memadam komen tersebut.

Ahmad Fadhli turut mengecam sekeras-kerasnya tindakan penggantungan Hanis Nadiah daripada mewakili pasukan hoki kebangsaan ke mana-mana tugasan antarabangsa termasuk temasya Sukan SEA Kemboja 2023 itu.

“Jawatankuasa Siasatan sendiri mengakui bahawa Hanis Nadiah memiliki perwatakan merendah diri serta berdisiplin tinggi sepanjang latihan dan kejohanan.

“Bahkan jurulatihnya sendiri menyatakan bahawa beliau memiliki ramai rakan-rakan hoki dalam kalangan bangsa India dan mereka bergaul rapat tanpa masalah ekoran sifatnya yang mudah mesra dengan rakan sepasukan.

“Ini bermaksud apa yang ditulis langsung tidak mempunyai niat untuk membangkitkan elemen perkauman dan rasis seperti yang didakwa sebahagian netizen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Pemain hoki, Hanis Nadiah digantung ekoran kenyataan perkauman

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli menegaskan tindakan penggantungan itu juga akan menjejaskan masa depan Hanis Nadiah.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut menggesa Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk campur tangan dalam isu tersebut.

“Ini sekali gus menjejaskan peluang skuad negara untuk meraih pingat dalam Sukan SEA Kemboja 2023.

“Saya menggesa Hannah untuk campur tangan dalam isu ini dan penggantungan Hanis wajib ditarik balik. Saya yakin Menteri akan bertindak bijaksana dalam menangani isu ini,” jelas beliau.

Hanis Nadiah digantung daripada mewakili pasukan kebangsaan ke mana-mana tugasan antarabangsa susulan kenyataan berbaur perkauman yang dikeluarkannya membabitkan konsert artis dan komposer, AR Rahman, 28 Januari lalu.

Keputusan itu dibuat Jawatankuasa Siasatan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) yang dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan memaklumkan, jawatankuasa siasatan mendapati Hanis Nadiah telah bersalah sebagai individu kerana membuat kenyataan atau komen secara terbuka di akaun media sosial miliknya yang menjurus kepada menghina, mengutuk atau mencaci sesuatu pihak lain.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Polis sahkan Haim Hilman digari, tegaskan ikut prosedur

POLIS mengesahkan Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah berada dalam...

More Articles Like This