SEBANYAK 315,760 peranti telah diagihkan kepada penerima PerantiSiswa setakat hari ini, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dalam kenyataan hari ini.
Menurut Fahmi, jumlah tersebut merangkumi 86 peratus daripada 366,843 permohonan yang telah diluluskan.
Bagi mempercepatkan pengagihan baki 51,083 atau 14 peratus penerima, terdapat dua sesi pengagihan akan dilaksanakan.
Jelas beliau, kementerian itu akan melaksanakan penjadualan pengagihan ke institusi penerima yang disegerakan.
Selain itu, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai memberitahu, Pusat Pengagihan PerantiSiswa (PPPs) akan digerakkan serentak di seluruh negara di pelbagai institusi pendidikan tinggi (IPT) yang ditentukan di setiap negeri.
“Sesi pertama PPPs akan berlangsung pada 17 hingga 19 Februari diikuti 24 hingga 26 Februari bagi sesi kedua manakala sesi ketiga akan dilaksanakan pada 3 hingga 5 Mac depan.
“Pengagihan secara berpusat memberikan fleksibiliti kepada penerima untuk memilih pusat agihan dan sesi yang bersesuaian tanpa mengira lokaliti institusi penerima asal.
“Ini bermaksud pelajar yang sedang bercuti, sedang menjalani latihan industri atau apa-apa sebab yang berkaitan dapat mengambil peranti di PPPs yang terdekat dengan pilihan masing-masing,” katanya dalam kenyataan itu.
Mengulas lanjut, Fahmi memberitahu, pemohon yang telah lulus permohonan tetapi belum diagihkan peranti akan menerima pemakluman dan boleh memilih pusat agihan serta sesi yang bersesuaian.
“Pemohon boleh mengakses akaun platform yang sama semasa permohonan tempoh hari iaitu perantisiswa.kkd.gov.my bermula hari ini,” katanya.
Baca artikel berkaitan: Keselamatan siber perlu diberi perhatian, hati-hati guna internet – Fahmi
Sesi pertama ialah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Arau, Perlis; Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah; Universiti Sains Malaysia (USM – Induk) di Georgetown, Pulau Pinang; Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak; Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor; Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan; dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal, Melaka.
Selain itu, sesi pertama turut melibatkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM Kampus Induk), Parit Raja di Johor; Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Kampus Gambang) di Pahang serta Universiti Malaysia Kelantan (UMK Kampus Bachok) di Kelantan.
Bagi sesi kedua adalah Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Arau di Perlis; UiTM Kampus Sungai Petani, Kedah; UiTM Kampus Permatang Pauh, Pulau Pinang; Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar, Perak; Universiti Putra Malaysia (UPM Kampus Serdang), Selangor; dan Universiti Malaya (UM) di Kuala Lumpur.
Sesi kedua turut melibatkan UiTM Kampus Kuala Pilah di Negeri Sembilan; UiTM Kampus Alor Gajah di Lendu, Melaka; UiTM Kampus Segamat dan Politeknik Mersing di Johor; UiTM Kampus Raub di Pahang; Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Gong Badak, Terengganu; UiTM Kuala Terengganu, Chendering; UiTM Machang di Kelantan; UiTM Kampus Samarahan 1 dan UiTM Kampus Samarahan 2 di Sarawak.
Universiti Malaysia Sabah di Kota Kinabalu serta Universiti Malaysia Sarawak di Kota Samarahan dan UiTM Kampus Mukah 2 di Sarawak pula akan melibatkan sesi pertama dan kedua, manakala UiTM Shah Alam, Selangor melibatkan sesi ketiga.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

