BEKAS Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping percaya bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low merupakan penasihat kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.
Saksi pendakwaan ke-41 itu berkata, dirinya percaya demikian apabila Jho Low sendiri memperkenalkan dirinya sebagai penasihat kepada Najib yang pada ketika itu selaku Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB sewaktu mengadakan beberapa pertemuan dengan ahli perniagaan berkenaan.
Malah Joanna, 52, yang juga merupakan pengurus akaun bank bekas Perdana Menteri itu memberitahu mahkamah bahawa beberapa pengurusan tertinggi 1MDB kerap merujuk Jho Low sebagai “boss” manakala Najib sebagai “big boss” setiap kali dalam mesyuarat.
Joanna menegaskan, oleh yang demikian pihaknya tidak pernah curiga ketika Jho Low yang secara berterusan mengaku mewakili Najib, memaklumkan beliau berhasrat membuka akaun peribadi di AmBank.
“Saya tidak pernah sangsi Jho Low mewakili Najib sebagai penasihat kerana kerap bertemunya di pejabat 1MDB meskipun tidak bertemu Najib di situ,” katanya.
Joanna berkata demikian pada sesi pemeriksaan semula yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, pagi tadi.
Sewaktu menjawab soalan Ahmad Akram, Joanna menyatakan beliau tidak pernah meragui Jho Low penasihat Najib dalam 1MDB kerana ahli perniagaan itu kerap memintanya menyemak status kad kredit Najib setiap kali ia tidak boleh digunakan.
Joanna turut memberitahu mahkamah bahawa sepanjang ingatannya, beliau tidak pernah diberitahu oleh mana-mana pihak dalam 1MDB bahawa Jho Low sebenarnya bukan penasihat Najib.
“Saya gagal mengesahkan perkara itu (Jho Low penasihat Najib) dengan lebih mendalam kerana saya tidak rasa boleh bertemu Najib atau mengunjungi kediamannya, bukan taraf saya berbuat demikian,” kata Joanna.
Dia turut ditanya pada awal prosiding mengenai pihak yang kerap hadir ke kaunter bank untuk memasukkan wang tunai kedalam akaun Najib secara berterusan setiap kali bakinya tidak mencukupi.
Saksi itu memberitahu bahawa beberapa individu yang memasukkan wang ke dalam akaun Najib pada 2014 dan 2015 apabila baki di dalam akauan itu tidak mencukupi yang mana individu-individu berkenaan bukan orang arab, sebaliknya rakyat negara ini
Katanya, individu-individu berkenaan merupakan Kee Kok Thiam dan seorang lagi individu yang hanya dikenali sebagai “Josie” yang didakwa mempunyai kaitan dengan Jho Low.
Menurutnya lagi, Najib tidak pernah membuat aduan berhubung kemasukan wang tunai melalui kaunter meahupun bertanyakan mengapa beliau tidak menerima penyata akaun daripada bank.
Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 27 Februari ini.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

