HANYA satu syarikat dari India yang diberi kebenaran mengimport telur ke negara ini sebagai langkah intervensi jangka masa pendek.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya telah bersetuju untuk memberi kelulusan import khas kepada syarikat berkenaan selama enam bulan mulai Disember lalu.
Menurut Mohamad, ia berdasarkan keupayaan syarikat itu yang mampu menghantar bekalan telur dalam masa singkat.
Kata beliau, syarikat tersebut telah diberikan kebenaran mengimport telur dari India berdasarkan pengalaman membawa masuk telur ke Qatar bagi memenuhi keperluan ketika penganjuran Piala Dunia FIFA 2022 lalu.
“Isu kekurangan bekalan telur di pasaran tempatan berlaku apabila terdapat penyusutan pengeluaran yang dikesan mulai Oktober sehingga Disember 2022 di mana pengeluarannya tidak dapat menampung keperluan di dalam negara.
“Kementerian ini telah membenarkan pengimportan telur dari jenis Fresh White Shell Egg dengan berat antara 50 hingga 55 gram yang boleh digredkan sebagai gred D di Malaysia atau medium di India,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam.
Baca artikel berkaitan: Bekalan ayam, telur diunjur stabil bagi suku pertama 2023
Mohamad menjawab pertanyaan Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) yang meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan jumlah eksport telur ayam dan mengapa kerajaan mengimport telur dari India serta syarikat mana yang mendapat permit import (AP) untuk mengimport telur.
Mengulas lanjut, Mohamad memaklumkan, dasar membenarkan pengimportan telur adalah bersifat sementara bagi tujuan memenuhi kekurangan bekalan telur dalam negara.
Jelasnya, kawalan biosekuriti yang ketat dikenakan di setiap konsainan telur apabila perlu menjalani ujian hold test release (HTR) di pintu masuk bagi memastikan telur yang diimport bebas daripada patogen selsema burung, Newcastle Disease dan Salmonella.
“Pembangunan industri telur tempatan merupakan fokus utama kementerian itu bagi memastikan industri telur tempatan terus berdaya tahan dan mampan.
“Ia juga memastikan industri telur dapat membekalkan telur kepada penduduk negara serta meningkatkan pendapatan negara menerusi pengeksportan telur ke luar negara,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

