ANWAR Ibrahim (kiri) bersama Pengerusi Kumpulan Bank Pembangunan Islam, Dr Muhammad Al Jasser, ketika hadir menyampaikan ucap tama pada Program Bersama Komuniti Perniagaan Bank Pembangunan Islam - Gambar BERNAMA

DATUK Seri Anwar Ibrahim menyeru komuniti perniagaan di Arab Saudi untuk melabur lebih banyak di Malaysia memandangkan negara kini berada di bawah kerajaan yang sangat stabil dengan dasar yang jelas.

Bercakap kepada ratusan ahli perniagaan Arab Saudi dan Malaysia, Perdana Menteri berkata, kerajaan baharu di bawah pimpinannya komited untuk memudahkan urusan perniagaan di Malaysia dengan pembaharuan yang menyokong perniagaan dan agenda Madani.

“Oleh itu, saya akan merayu kepada beberapa komuniti perniagaan, sejurus selepas Ramadan untuk menghantar delegasi dan bertemu rakan sejawatan anda.

“Kami sudah tentu akan menggalakkan anda untuk melabur dalam perkara ini kerana saya telah menyatakan keutamaan kami…untuk teknologi digital, keselamatan makanan dan sudah tentu, infrastruktur di negara ini dan kami mengharapkan penyertaan aktif anda di Malaysia,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada majlis bersama komuniti perniagaan Arab Saudi dan Malaysia di ibu pejabat Bank Pembangunan Islam di Jeddah hari ini.

Perdana Menteri, yang diiringi isteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz pada jam 6.40 pagi waktu tempatan semalam untuk memulakan lawatan rasmi tiga hari ke negara ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata terdapat hubungan timbal balik yang baik antara kedua-dua negara dari segi pelaburan.

“Kami mempunyai beberapa bentuk pelaburan dalam infrastruktur (dari Arab Saudi di Malaysia)…dan juga menakjubkan (bahawa Malaysia) dengan ekonomi kecil berbanding Arab Saudi, mempunyai pelaburan di Saudi.

BERITA BERKAITAN PM tiba di Arab Saudi untuk lawatan rasmi tiga hari

“Saya amat menggesa anda semua untuk memberikan semua sokongan diperlukan kerana ini akan membuat banyak perubahan untuk dunia Islam dan seterusnya menggalakkan ekonomi yang lebih cergas,” tambahnya.

Perdana Menteri turut berkongsi dengan hadirin mengenai potensi Malaysia dan daya tarikannya sebagai destinasi pelaburan yang baru-baru ini menarik Amazon Web Services (AWS) untuk membuat keputusan melabur RM25.5 bilion di negara ini.

Anwar, yang juga Gabenor ISDB untuk Malaysia, menasihatkan supaya usaha dibuat untuk memastikan pusat bank itu di Kuala Lumpur menjadi benar-benar bermakna.

“Gunakan pusat ini dalam semua bidang, termasuk dalam penyelidikan halal, malah vaksin, fokus pada cabaran baharu, sains, teknologi, inovasi, keselamatan makanan, pendigitalan dan kecerdasan buatan.

“Pusat Kecemerlangan ISDB KL mesti bersedia untuk menerokai bidang dan disiplin baharu ini yang boleh memberi manfaat kepada ummah,” katanya. – BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram