KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan berhubung kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi petunjuk jelas bahawa sistem kehakiman negara berfungsi dengan baik.
Keadaan ini menepis segala persepsi bahawa keputusan sistem kehakiman negara boleh dipengaruhi oleh faktor perubahan tampuk pemerintahan negara.
Ahli Majlis Profesor Negara (MPN) Kluster Politik, Undang-undang dan Governan, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, keputusan majoriti 4-1 juga menunjukkan bahawa para hakim diberi kebebasan untuk membuat keputusan mengikut tafsiran mereka sendiri.
“Kita boleh tegaskan di sini mahkamah nampak bebas dan neutral, mereka tidak terikat dengan mana-mana pengaruh sama politik atau kerajaan. Itu kita boleh tegaskan di sini.
“Kita lihat bahawa keputusan lima orang hakim itu, seorang tidak bersetuju dengan majoriti, jelas bahawa hakim bebas membuat keputusan, jadi tidak timbul hakim ini dipengaruhi oleh kerajaan.
“Saya rasa keputusan kes ini dan kes-kes sebelumnya rakyat perlu menetapkan dalam diri mereka bahawa sistem kehakiman kita memang adil dan tidak pengaruhi mana-mana pihak,” katanya ketika dihubung UtusanTv hari ini.
Baca artikel lain: Malaysia tidak akan benarkan kuasa besar tentu masa depan – PM
Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 4-1 menolak permohonan Najib untuk menyemak semula sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Keputusan majoriti itu dibacakan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat.
Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempengerusikan panel lima hakim itu membuat keputusan bertentangan.
Anggota panel lain ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.
Prof Nik Ahmad Kamal menambah, kes ini juga memperjelaskan betapa adilnya sistem kehakiman dengan memberi peluang kepada Najib merayu dan meminta pertimbangan ke atas keputusan yang telah dibuat.
Justeru, beliau berharap rakyat menolak sebarang persepsi buruk yang cuba ditimbulkan terhadap sistem kehakiman negara dan mula memberi kepercayaan penuh agar ia boleh berfungsi dengan baik serta seadilnya.
“Sistem kita begitu luas sehingga membenarkan permohonan daripada peringkat bawah hingga peringkat tinggi, dan selepas peringkat tertinggi ada lagi peringkat tertinggi iaitu semakan kepada keputusan Mahkamah Persekutuan.
“Dia (Najib) telah diberi peluang, ruang yang sangat besar dan luas dalam memastikan keadilan berlaku terhadap beliau.
“Kalau kita lihat kes dahulu waima kes Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau telah melalui proses yang lebih kurang sama, rayuan ke peringkat tinggi kemudian disemak lagi, jelas bahawa mahkamah amat konsisten,” katanya lagi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

