KEROSAKAN dalaman yang teruk dalam UMNO akan dibaiki oleh kepimpinan baharu parti, tegas Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad.
Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata, UMNO kini telah berada di landasan betul selepas beberapa strategi dilaksanakan untuk memulihkan kembali parti itu.
Katanya, fokus utama UMNO ketika ini adalah untuk terus bergerak ke hadapan dan menguatkan kembali parti.
“Perkara yang patut ditinggalkan, sudah ditinggalkan dan yang patut melalui pemutihan juga, sudah diputihkan.
“Jadi sekarang, biar kepemimpinan UMNO yang baharu memperbaiki segala kerosakan yang mungkin telah berlaku. Kita nak terus bergerak, melihat ke hadapan,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Saarani berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan dibuat Pemuda UMNO Perak, yang mana sayap itu enggan melayan sebarang kritikan yang dibuat bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, selepas dipecat daripada parti.
Untuk rekod, Khairy sebelum ini dipecat daripada UMNO sebelum pemilihan parti kerana hasratnya untuk mencabar jawatan Presiden tetapi sebaliknya jawatan tersebut tidak dipertandingkan.
Mengulas lanjut, Saarani berkata, ahli akar umbi tidak perlu mendengar dan terpengaruh dengan kritikan bekas ahli yang sudah tidak bersama dengan UMNO.
Katanya, bekas ahli UMNO dibuang parti dan dikenakan tindakan tatatertib membuatkan kritikan yang dilemparkan mereka sebagai tidak relevan.
Malah, Saarani turut menasihatkan bekas ahli UMNO supaya tidak mencampuri urusan parti.
“Agak sukar apabila ketika ini orang di luar UMNO yang banyak bercakap mengenai parti ini. Kalau sudah bukan ahli UMNO, tak perlu masuk campur hal parti.
“Bukan bermakna kita sombong sampai tak dengar cakap orang lain. Tetapi janganlah ia menjadi satu proses mengadu domba dan provokasi. Tak perlu, tak perlu. Cukuplah dengan apa yang telah kita lalui selama ini.
“Terima kasihlah sebab ramai berminat untuk bercakap perkara yang berkaitan dengan UMNO, tetapi UMNO yang akan buat keputusan. Apa pun keadaannya, UMNO yang akan buat keputusan.
“Kepada mereka yang berada di luar UMNO, sama ada bekas ahli UMNO dan sebagainya, terima kasih saya ucapkan kerana masih lagi prihatin dan ada rasa cinta kepada UMNO,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

