GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) mendedahkan, perubahan pendirian dalam isu pemilihan Perdana Menteri ke-10 berlaku disebabkan beberapa perkara antaranya selepas pertemuan bersama Yang di-Pertuan Agong.
Dalam pertemuan itu, Yang di-Pertuan Agong memberitahu, tidak ada kejelasan mengenai siapa yang akan menjadi Perdana Menteri daripada segi sokongan Ahli Parlimen.
Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sehubungan itu, Seri Paduka menyatakan bahawa senario terbaik ialah GPS untuk membantu membentuk Kerajaan Perpaduan.
“(Baginda) berhajat ada Kerajaan Perpaduan dan minta pandangan kami. Pendirian kami ketika itu… kami telah menulis SD kami (ke istana) menyokong Muhyiddin.
“Tetapi, GPS akan menghormati apa sahaja keputusan yang dibuat oleh Agong dan kita akan menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan demi kestabilan negara.
“(Baginda) berasa lega (kerana) atas pendirian kami, yang memberi (Baginda) ruang untuk memutuskan apa yang terbaik untuk negara.
“Jadi Agong menyatakan bahawa (senario) terbaik ialah (GPS) untuk (membantu) membentuk Kerajaan Perpaduan. Siapa yang akan (menjadi) ketua? Tidak disebut,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.
Baca artikel lain: Michelle Yeoh bawa trofi Oscar kunjungi Anwar
Fadillah menjelaskan, bahawa Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin dan Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Openg telah bercakap melalui telefon sejurus selepas pilihan raya.
Ini menyebabkan GPS memutuskan secara kolektif bahawa mereka akan menyokong Muhyiddin untuk jawatan Perdana Menteri.
“Itulah hakikatnya ketika itu. Akhirnya, perkara yang berlaku di Semenanjung melibatkan BN.
“Mereka kata mereka tidak bersama Muhyiddin. Mungkin ada beberapa ahli yang menyokong (Muhyiddin) tetapi majlis tertinggi tidak menyokong.
“Jadi apa sahaja akuan berkanun (SD, yang dibuat untuk menyokong Muhyiddin) adalah tidak sah,” kata Fadillah.
Fadillah menegaskan, sebelum pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri pada 24 November tahun lalu, tiada rundingan dengan gabungan lain diadakan.
Ditanya sama ada GPS telah meletakkan permohonan maaf DAP sebagai syarat untuk menyertai kerajaan Anwar, Fadillah secara ringkas menjawab tidak.
“Saya fikir ia adalah isyarat yang baik oleh (Setiausaha Agung DAP) Anthony Loke. Dia datang (ke Kuching) dan meminta maaf kepada Premier kita.
“Tetapi seperti yang saya katakan, objektif utama GPS adalah untuk membentuk kerajaan yang stabil dan kuat… Kita tidak mampu untuk bermain politik lagi,” katanya lagi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

