Rayuan kes tahfiz: 2 tong gas 14kg mustahil diangkat seorang diri, kata pihak pendakwaan

Auzaee Athallah
Auzaee Athallah
Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

Dari Penulis

PIHAK pendakwaan memberitahu Mahkamah Rayuan hari ini bahawa kejadian kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah tidak mungkin dilakukan secara seorang diri.

Timbalan Pendakwa Raya, How May Ling dalam hujahannya berkata, perkara itu mustahil apabila dua tong gas masing-masing seberat 14 kilogram diangkat dari tingkat bawah ke tingkat dua asrama tahfiz berkenaan.

Selain perlu mempertimbangkan berat tong gas itu katanya, tempoh masa yang diambil oleh dua orang remaja selepas memasuki sehingga keluar dari asrama itu dalam masa 18 minit juga menjadi hujahan utama.

Menurutnya, dua tong gas itu diangkat dari tempat memasak di bahagian belakang aras bawah tahfiz itu sebelum masing-masing diletakkan dalam keadaan menegak dan melintang serta disimbah petrol dan dinyalakan guna pemetik api.

“Satu tong gas baru guna dan satu lagi tak buka lagi, kedua-duanya berat. Bukti kita bukan hanya dua tong gas ini tetapi ada garis masa kejadian melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Selepas simbah petrol, mereka turun tangga sebelum kembali ke motosikal sebelah bangunan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berdekatan pusat tahfiz dan di situ CCTV merakamnya,” katanya.

May Ling sekali lagi menegaskan bahawa proses mengangkat dua tong gas dalam tempoh 18 minit mustahil dilakukan seorang diri, sebaliknya memerlukan dua orang untuk melakukan perbuatan itu.

Beliau berhujah demikian pada prosiding rayuan terhadap pembebasan seorang remaja lelaki di Mahkamah Rayuan, pagi ini.

Prosiding itu dijalankan di hadapan panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Abu Bakar Jais, yang bersidang bersama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk See Mee Chun.

Sementara itu, peguam bela lelaki yang dibebaskan tersebut, Haijan Omar membantah hujah pihak pendakwaan dengan menyifatkan hujahan itu sebagai tiada merit kerana tiada pengecaman positif.

“Tiada keterangan bahawa responden terlibat dalam perbualan tersebut, tiada. Tiada yang kata responden mengambil bahagian sama ada bercakap atau membalas, tiada yang kata responden membeli petrol,” kata peguam itu.

Abu Bakar kemudian menetapkan 14 Julai ini untuk keputusan terhadap rayuan pendakwaan dan pembelaan terhadap hukuman serta pembebasan lelaki terbabit.

Pada 9 Mac lalu, panel tiga hakim berkenaan mendengar hujahan pihak pembelaan dan pendakwaan berhubung rayuan seorang lelaki yang disabitkan bersalah dan dihukum penjara selama diperkenan Yang di-Pertuan Agong.

Prosiding itu turut mendengar rayuan pendakwaan terhadap keputusan remaja yang dikenali sebagai Penama 2 yang sebelum ini dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu di akhir kes pendakwaan.

Kedua-dua remaja yang berusia 16 tahun ketika kejadian, sebelum ini didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini di antara 4.15 pagi dengan 6.45 pagi, pada 14 September 2017.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan di bawah  Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukan hukuman mati.

Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati dan boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong mengikut Seksyen 97(2) akta sama.

Pada 17 Ogos 2020, Penama 1 didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas pertuduhan tersebut.

Pada 28 Januari 2020, mahkamah sama melepas dan membebaskan Penama 2 dalam kes itu tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan dihadapinya.

Dalam tragedi pada 14 September 2017, seramai 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz terkorban selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz yang terbakar.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Keputusan bina loji kuasa nuklear dipertimbang selepas semua prasyarat dipenuhi

SEBARANG keputusan berhubung pembinaan loji jana kuasa nuklear hanya akan dipertimbangkan setelah semua prasyarat berkaitan dipenuhi. Pada masa sama, Timbalan...

More Articles Like This