SEORANG ibu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua anak kandung lelakinya, tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 33 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said, pagi ini.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai seorang yang mempunyai hubungan amanah iaitu ibu kandung telah melakukan perbuatan itu terhadap dua anaknya masing-masing berusia 14 dan 12 tahun ketika kejadian.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah unit kediaman pangsapuri di Puncak Alam, Kuala Selangor pada bulan November tahun lalu sekitar jam 8 malam.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b), Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.
Sabit kesalahan bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan hukuman sebat.
Dalam pada itu, tertuduh yang tidak bekerja itu juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan keempat iaitu mengarahkan satu pembuatan pornografi kanak-kanak dalam bentuk video.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik hotel di Sungai Buloh antara 17 Februari 2022 sehingga 18 Februari 2022 sekitar jam 2 pagi.
Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017 [Akta 792] yang boleh dihukum di bawah Seksyen sama.
Tertuduh berdepan hukuman penjara tidak lebih 30 tahun dan hendaklah dihukum dengan hukuman tidak kurang enam
kali sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur ‘Ayuni Jamri dan Nurul ‘Izzati Mohammad tidak mencadangkan sebarang jaminan memandang kesalahan yang dipertuduhkan merupakan kesalahan serius selain mangsa merupakan anak kandungnya sendiri.
Tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah membenarkan jaminan terhadapnya memandangkan dia menanggung lima orang anak dan tidak bekerja.
Hakim Syafeera bagaimanapun tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh bagi kesemua pertuduhan.
Mahkamah kemudian menetapkan 26 Jun depan bagi sebutan semula kes serta serahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh.
Sementara itu, rakan tertuduh Haddad Mohd Radhi, 22, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 15 tahun ketika kejadian yang juga merupakan anak kandung kepada wanita terbabit.
Pertuduhan itu didakwa dilakukan antara 17 Februari 2022 sehingga 18 Februari 2022 lebih kurang jam 2 pagi di sebuah bilik hotel di Sungai Buloh.
Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dihukum dengan hukuman sebatan jika sabit kesalahan.
Nurul Izzati tidak mencadangkan sebarang jaminan terhadap tertuduh yang merupakan penarik kereta memandangkan tertuduh merupakan kenalan wanita berkenaan dan bimbang sekiranya tertuduh menganggu mangsa serta saksi pendakwaan.
Peguam yang mewakili lelaki itu bagaimanapun memohon anak guamnya dibenarkan jaminan memandangkan perlu menyara isteri yang sedang mengandung dan seorang lagi anaknya.
Mendengar rayuan kedua-dua pihak, Syafeera membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan melaporkan diri di balai polis sekali setiap bulan dan tidak menganggu mangsa, keluarga dan saksi pendakwaan.
Bagi kes itu, mahkamah menetapkan 14 Jun depan bagi sebutan semula kes.
Sebelum ini seorang wanita direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes amang seksual fizikal terhadap anak lelakinya berusia 14 tahun.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Ramli Kasa berkata, wanita itu ditahan di kediamannya selepas menerima laporan daripada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang mendapat maklumat menerusi sebuah video yang diperoleh dsripada individu tidak dikenali.
Siasatan awal mendapati suami wanita terbabit sedang menjalani hukuman penjara manakala wanita itu negatif terhadap dadah.
Ramli berkata kesemua anak suspek yang berusia sembilan hingga 17 tahun kini berada di bawah jagaan JKM.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

