Oleh DR. SELAMAT AMIR

SEDAR atau tidak kemuliaan Ramadan telah pun berlalu pergi meninggalkan bekas di jiwa sanubari. Buat mereka yang beruntung dan terpilih, diampuni segala dosa lalu dan hadir dengan jiwa putih suci bersih umpama bayi yang baru lahir.
Kini, Syawal hadir sebagai bulan kemenangan dan kegembiraan menghiasi setiap sisi kehidupan muslim. Tidak mengira darjat atau kedudukan, miskin atau kaya, muda atau tua bulan yang dinanti-nantikan ini hadir membawa berjuta kegembiraan. Manakan tidak, yang berjauhan disatukan, segala khilaf dan sengketa dilupakan, ukhuwah dan silaturahim ditegakkan. Suasana inilah yang begitu sinosim dengan frasa aidilfitri iaitu kembali kepada fitrah dari segala hal yang mazmumah.
Namun dalam meraikan Syawal yang mulia, harus diingat agar syariat sentiasa diletakkan sebagai kiblat utama dalam bergembira. Almaklumlah, adakalanya kerana terlalu teruja dengan suasana sehingga banyak hal yang sia-sia dan bertentangan dengan syariat berlaku seperti mengabaikan solat lima waktu, mencampur adukkan hal ehwal halal dan haram, berlebih-lebihan dalam berbusana, berhubungan tanpa batas dan moral dan sebagainya. Walhal bukankah Ramadan telah hadir menyucikan jiwa?
Dikesempatan kita semua bergembira dan meraikan lebaran pada saat ini, izinkan saya berkongsi buat saudara saudari yang dikasihi sedikit pesan Ilahi menerusi beberapa potongan dan isyarah kalamullah dalam surah al-Mukminun – yang akan menjadi inspiratif dan ‘the guideline’ dalam meraih kejayaan dan kesuksesan yang sebenar khasnya di bulan Syawal ini. Mudah-mudahan menjadi buah tangan dan pencetus inspirasi bagi meraih kehidupan yang lebih baik pada saat ini dan hari mendatang insyaAllah.
Semua sedia maklum bahawa matlamat dan objektif berpuasa adalah untuk meletakkan kedudukan seorang Muslim dalam tingkatan TAQWA (muttaqin). Dan ketaqwaan yang berbekas di dalam jiwa sanubari seorang Muslim itu telah dijanjikan dengan pelbagai bentuk kejayaan (al-Falah) dan berita gembira (al-Buysra) di dunia mahupun di akhirat. dan salah bentuk kejayaan dan kegembiraan tersebut ialah meraikan aidilfitri dengan sifat ketaqwaan dan kesyukuran serta memugar kiblat kehidupan bersyariat dalam setiap sisi kehidupan. Dan hal inilah yang disebutkan intipati syariat itu adalah meraih taqwa, dan taqwa itulah kemuncak kepada tujuan dan matlamat sebenar penciptaan manusia waima di dunia apatah lagi di hari perhitungan (yawm al-Din).
Dalam meraikan suasana penuh dengan kegembiraan lebaran pada saat ini, saya mengajak saudara dan saudari yang dikasihi untuk merenung dan mentadabbur bersama ayat 1 hingga ayat 11 daripada surah al-Mukminun disamping melihat keterkaitan atau munasabat dalam surah lain yang berkisar mengenai al-Falah atau apakah makna sebenar kejayaan menurut al-Quran dan kita cuba kaitkan dan renung bersama erti kejayaan di bulan Syawal, bulan fitrah dan bulan kemenangan pada saat ini.
Oleh kerana ruangan ini adalah terhad, memadailah saya kongsikan intipati utama dan ringkasan hasil daripada pemerhatian dan penelitian beberapa karya tafsir berorientasikan al-Ma’thur dan al- Ra’yi serta karya-karya hadith mahupun rujukan muktabar genre klasik dan moden untuk renungan kita bersama.
Menariknya, ayat pertama surah al-Mukmukminun ini telah mencetuskan satu motivasi dan inspirasi buat orang yang beriman menerusi frasa ‘aflaha’ yang membawa maksud kejayaan, kesuksesan atau keberuntungan yang pasti. Timbul persoalan, mengapa dikhususkan untuk orang mukmin? Mengapa al-Quran tidak menggunakan frasa muslimun? Kerana kebiasaannya mereka yang digelar sebagai ‘muslim’ belum tentu ‘mukmin’ samada dari segala segi pertuturan dan tindakan.
Dan pra-syarat utama surah ini meletakkan kriteria khusus bahawa sekiranya ingin meraih sukses yang sebenar maka kata kunci utamanya ialah mestilah dalam kalangan mereka yang beriman (al-Mukminun).
Al-Quran merakamkan kalimah (al-Falah) disebut sebanyak 40 kali dalam pelbagai bentuk kata kerja (fe’el madhi, fe’el mudhari’ dan isim fa’il) antaranya; Aflaha, Yuflihu, Yuflihun, Tuflihuu, Tuflihuuun, al-Muflihuun dan al-Muflihiin (dengan 23 kriteria/tema khusus). Setiap kalimah memiliki maqasid, makna dan tujuan serta mukjizat agung yang tersendiri. Ibn Manzur menjelaskan al-Falah bermaksud al-Fauz (kejayaaan), kelepasan dan berkekalan dalam nikmat dan kebaikan.
Persoalan pokok ialah; Apakah kriteria dan ciri-ciri utama dalam meraih kejayaan dalam surah ini?
Ayat 1 hingga ayat 9 memperincikan sebanyak tujuh kriteria utama seorang mukmin dalam meraih kejayaan yang sebenar. Menariknya bermula ayat pertama, Allah SWT merakamkan bahawa orang mukmin itu telah berjaya meskipun mereka belum lagi dimasukkan ke dalam syurga. Kerana ramai yang beranggapan ‘kejayaan’ itu hanya apabila dimasukkan ke dalam syurga, sedangkan orang mukmin telah pun dikurniakan ‘kejayaan’ semasa di dunia lagi. Kemudian barulah ayat 10 hingga 11 menjelaskan ‘kemuncak’ kejayaan sebenar yang bakal diperolehi oleh orang-orang yang beriman.
Kriteria Pertama ‘al-Falah’ dalam ayat ini ialah mereka yang khusyuk dalam mendirikan solat. Allah meletakkan solat yang khusyuk sebagai ciri pertama dan utama kerana ibadah ini adalah merupakan tiang dan tunjang orang mukmin. Ramai orang Islam yang mendirikan solat, namun sangat sedikit yang khusyuk dalam melaksanakannya.
Khusyuk disini bermaksud tawajjuh (fokus) ketika mendirikan solat dengan menghadirkan rasa takut dan keagungan kepada Allah SWT. Saidina Ali RA menjelaskan khusyuk adalah berkait rapat dengan hati seorang mukmin. Manakala Ibn ‘Abbas mengaitkan korelasi di antara ‘rasa’ takut dan tenang ketika mendirikan solat. Maka wajarlah apabila bulan Ramadan yang telah berlalu menjadi madrasah terbaik dalam mempertingkatkan kuantiti dan kualiti solat agar mencapai darjat ‘khasyiuun’.
Kriteria kedua dalam meraih al-Falah (kejayaan) ialah berusaha menjauhi perkara yang tidak bermanfaat ‘lagha’ (ayat 3). Kerana hal yang tidak bermanfaat ini bukan sekadar membuang masa terluang, malah lama kelamaan dibimbangi akan terjerumus ke dalam dosa, malah lebih buruk lagi jatuh ke lembah syirik mahupun kemaksiatan. Misalnya, apakah pengisian atau aktiviti yang dilakukan dalam meraikan kegembiraan di bulan Syawal?
Ramai yang mengambil kesempatan mengeratkan silaturahim dengan ziarah menziarahi atau kunjung mengunjung. Namun tidak kurang juga segelintir yang membuang masa dengan ‘melepak’ atau berbual kosong sehari semalam. Ada orang kata inilah saat terbaik berkongsi cerita setelah sekian lama tidak berjumpa. Namun harus diingat agama sama sekali tidak melarang berkongsi cerita, namun adakalanya bercerita hal yang sia-sia dan tidak bermanfaat itu lebih banyak dari hal yang bermanfaat. Tepuk dada tanyalah jiwa. Sebab itulah juga elemen khusyuk dalam solat merupakan ciri pertama kerana orang yang khusyuk itu akan berpaling (‘aradha) daripada hal yang sia-sia yang menggangu penumpuan solat.
Kriteria ketiga ialah al-Zakah. Kalimah ini biasa diterjemahkan dengan zakat, namun dalam ayat ini
(ayat 4) ahli tafsir mentafsirkan sebagai orang yang sentiasa menyucikan jiwa ‘tazkiyyah al-Nufus’
daripada segala perkara tercela, selari dengan makna zakat sebagai bentuk penyucian.
BERITA BERKAITAN Jadikan Syawal sebagai hari kemenangan dengan melakukan amalan ini
Dalam al-Quran frasa berkaitan zakat biasanya menggunakan kalimah ‘wa’atu al-Zakah’ iaitu pemberian dan berbeza pada ayat ini membawa makna perlakuan. Ciri ini selari dengan makna ayat 9-10 surah al-Syams yang bermaksud; ‘sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya’. Maka usaha penyucian jiwa itu bukan sekadardilakukan di bulan Ramadan yang lalu, sebaliknya ianya adalah sebuah proses berterusan sehingga pada bulan Syawal dan bulan berikutnya.
Kriteria keempat pula ialah kejayaan itu akan diberikan kepada orang mukmin sekiranya berusaha untuk menjaga kemaluan atau maruah serta harga diri daripada hal tercela atau ‘faahisyah’ (dosa disebabkan nafsu-kemaluan). Menjadi persoalan mengapa aspek ini Allah SWT letakkan sebagai prasyarat utama? Kerana al-Quran sendiri telah merakamkan sejarah lampau betapa ramainya umat terdahulu ditimpa azab dan kerosakan disebabkan mereka gagal menjaga dan mengawal nafsu kemaluan. Lihatlah pada hari ini di sekeliling kita semua, sudah berapa banyak kerosakan dan kehinaan yang menimpa masyarakat disebabkan perbuatan zina? Budaya sonsang? Tidak kurang juga kecanduan kerosakan yang dibawa oleh golongan pro LGBT yang terang lagi bersuluh menempa kemurkaan dan azab yang pedih. Maka, janganlah sekali-kali dicemari kemuliaan Syawal ini dengan perkara yang terkait dengan nafsu yang merosakkan.
Dan kriteria kelima dan keenam ialah orang mukmin yang menjaga dan melaksanakan amanah dan serta menunaikan janji (ayat 8). Kronologi ayat sebelum ini lebih memfokuskan ciri-ciri mukmin yang bersifat pengamalan secara individu/peribadi. Namun pada ayat ini Allah SWT mengaitkannya dengan orang lain. Samada di peringkat keluarga, masyarakat sehinggalah hal ehwal kenegaraan. Kerana apabila dicermati, kriteria pertama sehingga kriteria keempat adalah satu proses mempersiapkan diri atau individu mukmin sebelum terjun ke arena yang lebih besar dan luas yang menghubungkan orang lain atau masyarakat.
Logikanya, sekiranya salah satu ciri gagal dipenuhi maka ia tidak layak untuk memegang amanah mahupun melaksanakan janji. Namun pada hari ini berapa ramai orang secara jelas dan terbuka memungkiri janji serta amanah demi kedudukan, harta dan takhta. Oleh sebab itulah Rasulullah SAW mencela sifat sebegini dengan mengatakan secara jelas bahawa; ‘Pertanda orang munafik ada tiga, iaitu: Apabila berbicara, dusta; apabila berjanji, engkar; dan apabila dipercaya, khianat.’ (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim).
Manakala kriteria terakhir yang ketujuh ialah kejayaan akan mengiringi orang mukmin apabila sentiasa menjaga solatnya (ayat 9). Kalimah solat dalam ayat ini adalah bentuk plural (solawaatihim) yang bermaksud solat yang perlu dijaga bukan sahaja solat yang fardhu, malah solat sunat atau muakkad. Lebih khusus lagi para ulama menjelaskan solat fardhu perlu dijaga agar didirikan ‘tepat pada waktunya’ dan solat sunat itu perlu dijaga agar sentiasa menjadi ‘kelaziman’ kerana sering ditinggalkan.
Pernahkan saudara dan saudari terfikir, mengapa Allah SWT menyebut kriteria pertama adalah solat dan kriteria terakhir juga adalah solat? Kerana secara asasnya, apabila seorang mukmin berusaha dalam menjaga solat maka sifat-sifat mahmudah yang lain akan menyusul kemudian. Dalam erti kata yang lain, solat adalah merupakan neraca terpenting seorang hamba sekiranya mendambakan kejayaan dan kebahagiaan bukan sahaja di dunia malah kejayaan di akhirat.
Kerana menerusi beberapa penelitian dan pengalaman, segelintir umat Islam hanya ‘teruja’ mendirikan solat samada yang fardhu atau sunat pada waktu siang dan malam hanya pada bulan Ramadan sahaja. Tatkala Ramadan berlalu pergi dan sibuk bergembira di hari lebaran, maka solat mula diabaikan dan ditinggalkan.
Masjid yang dahulunya meriah dengan kehadiran jemaah, mula kelihatan sunyi dan sepi. Maka oleh sebab itulah surah al-Mukminun hadir membawa peringatan dan motivasi agar konsisten dalam hidup bersyariat demi meraih kejayaan yang sebenar-benarnya. Maka oleh sebab itulah Allah SWT telah menjanjikan sebuah janji yang pasti dalam ayat 10 dan 11 yang menyebut bahawa apabila seorang mukmin berusaha memenuhi tujuh kriteria yang telah ditetapkan maka mereka bukan sekadar dijanjikan kejayaan (al-Falah) di dunia, malah bakal mewarisi syurga al-Firdaus (syurga tingkat tertinggi) di akhirat kelak. Selaras dengan firmanNya; ‘mereka itulah yang mewarisi syurga firdaus, mereka kekal di dalamnya’. (Surah al-Mukminun ayat 11).
Secara umumnya, dapat disimpulkan bahawa kriteria atau ciri-ciri golongan yang berjaya menurut al-Quran adalah kombinasi kesempurnaan akidah, syariat dan akhlak. Kefahaman tentang ketiga-tiga asas ini pula tidak akan dapat diperolehi kecuali dengan jalan menuntut ilmu, serta kefahaman dan diserlahkan menerusi pengamalan (ta’ammul).
Maka, apabila direnung sedalamnya, hikmah terbesar kurniaan bulan penuh rahmat buat umat Muhammad ini ialah agar setiap muslim kembali kepada fitrah, berusaha sebaik mungkin memperbetulkan kekhilafan, serta menggandakan amalan soleh agar mampu mencapai tingkat mukmin malah kemuncaknya ialah tingkatan orang yang bertaqwa (muttaqiin). Selaras dengan manifestasi berpuasa agar mencapai kedudukan taqwa (Surah al-Baqarah ayat 183) dan akhirnya dapat meraih fitrah yang sebenar pada bulan Syawal.
Sayugialah dikesempatan dalam meraikan kegembiraan lebaran dan kemenangan Syawal ini untuk kita sama-sama merebut peluang dan ganjaran yang tersedia. Eratkan silaurahim, sempurnakanlah tuntutan berpuasa 6 hari pada bulan Syawal serta pandulah seluruh kehidupan dengan syariat dan bukan hanya sekadar berdasarkan adat.
Dalam masa yang sama merenung keagungan dan kebesaran mukjizat al-Quran menerusi usaha untuk mendalami makna dan rahsia ayat al-Quran sepertimana yang telah ditinggalkan oleh Baginda Nabi SAW (baca-faham-amal). Mudah-mudahan Ramadan yang telah berlalu pergi dan Syawal yang sedang dinikmati akan meninggalkan ‘bekas yang mendalam’ dalam jiwa orang mukmin dalam melayari kehidupan mendatang, waima di dunia hinggalah ke akhirat.
- * PENULIS merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di e-mel: [email protected]

