
Semalam Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan seramai 91.6 peratus calon telah berjaya memperolehi kelulusan SPM (minimum lulus Bahasa Malaysia dan Sejarah), kali pertama melebihi 90 peratus, satu catatan sejarah pendidikan negara. Membanggakan.
Pencapaian Gred Purata Nasional (GPN) SPM 2022 lebih baik, iaitu 4.75 berbanding 4.86 pada tahun 2021. Seramai 10,109 pelajar memperolehi grade ‘straight A’. Mengalir air mata ibu bapa, termasuk juga Yang Berhormat Menteri yang turut menyaksikan kejayaan anak beliau. Tahniah pelajar, ibu bapa dan guru. Moga lahirlah ‘Anak Baik lagi Cerdik’, slogan ABC KPM hari ini. Menggembirakan.
Secara umumnya keputusan SPM 2022 menunjukkan pencapaian pendidikan negara yang lebih baik. KPM turut mengesahkan kualiti sistem pendidikan negara adalah setanding dengan pentaksiran antarabangsa. Saban tahun kita dimaklumkan pendidikan negara lebih baik, semakin meningkat. Meyakinkan.
Sebaliknya pula, di awal tahun 2023 Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan 170,000 murid sekolah diakhir sekolah rendah tidak mahir membaca. Sekitar 5.8% (1.9 juta) rakyat Malaysia tidak pernah bersekolah. Merisaukan.
Penghujung Mei yang lalu, Malaysia digemparkan dengan laporan YB Menteri Pendidikan, hampir 50 peratus (180,680 pelajar) lepasan SPM 2021 tidak berminat menyambung pengajian mereka. Bertambah risau.
Baca artikel berkaitan: Malaysia Madani: Tiga dokumen penstrukturan ekonomi pertaruhan besar pembangunan
Minat untuk menyambung pengajian yang sangat rendah ini lebih merisaukan kerana kini hanya 28 peratus tenaga kerja Malaysia adalah pekerja mahir (umumnya berpendidikan tinggi), jauh lebih rendah berbanding purata bagi beberapa buah negara maju iaitu sekitar 53 peratus. Menggusarkan.
Di peringkat pengajian tinggi, agensi penarafan antarabangsa QS melaporkan kedudukan universiti Malaysia semakin meningkat. Malaysia mempunyai universiti bertaraf dunia. Semua universiti penyelidikan kita mencatat peningkatan dalam penarafan dunia. UM, UPM, UKM, dan USM
kini antara 200 terbaik dunia. Membanggakan.
Di rantau Asia Tenggara, universiti kita mendominasi tangga Top 10! Terkini USM malah diletakkan sebagai yang ke-4 terbaik dunia dalam penarafan THE Impact Ranking. Universiti Malaya terus mencatat kenaikan penarafan, kini ke-70 terbaik dunia. Sangat
membanggakan.
Namun, sudah berkali-kali YB Menteri Pengajian Tinggi mengingatkan, ‘ranking’ bukan matlamat pengajian tinggi negara. IPT perlu mengembalikan keyakinan rakyat. Hasil kerja IPT mesti memberi impak kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat. Sejauh mana telah kita capai?
Laporan Bank Dunia ‘Aiming High’ pada tahun 2021, memberi rumusan yang sebaliknya, Malaysia berhadapan dengan cabaran menyediakan modal insan yang berkualiti. Pencapaian pendidikan Malaysia agak terkebelakang berbanding dengan negara-negara maju. Merunsingkan.
Dalam konteks daya saing global, kita ketinggalan. Berdasarkan penarafan daya saing global oleh IMD, kualiti bakat negara saban tahun semakin merudum. Pada tahun 2013, Malaysia berada pada tangga ke-14 terbaik dunia. Terkini kita merudum jatuh ke tangga 36! Menggerunkan.
Rumusan yang berkecamuk di atas sangat mengelirukan. Di mana sebenarnya status kualiti pendidikan negara kita? Kita tidak boleh berterusan begini. Sekejap hebat, membanggakan dan menggembirakan dan sekejap risau, merunsingkan dan menggerunkan.
Penyediaan bakat yang berkualiti adalah antara perkara terpenting yang perlu kita pastikan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi. Kita harus sepakat di mana kita hari ini. Sematlamat ke mana hendak kita tuju untuk Membangun Malaysia Madani.
MINDA-UKM: Membangun Bersama Negara
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

