SEORANG bekas pemain bola sepak kebangsaan mengaku tidak bersalah memukul kekasihnya di sebuah bilik hotel, awal bulan ini.
Mohd Rizal Mohd Ghazali, 31, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah selepas didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini.
Pemain pertahanan Sabah FC itu menghadapi dua pertuduhan iaitu mendatangkan kecederaan dan melakukan khianat terhadap teman wanitanya.
Mengikut pertuduhan pertama, beliau didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa, Hani Farhana Hasrul Sani, 37, dengan memukulnya.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan merosakkan telefon bimbit milik wanita sama sehingga menyebabkan kerugian dianggarkan bernilai RM4,500.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik hotel di Petaling Jaya sekitar jam 6 pagi pada 7 Jun lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Maryam Jamilah Md Kamal menawarkan jaminan sebanyak RM7,000 serta syarat tambahan untuk tidak menganggu mangsa dan saksi-saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh, Datuk Suraj Sigh memohon jaminan yang minimum terhadap anak guamnya memandangkan beliau menyara ibu bapa selain memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan pihak polis.
Majistret Zhafran kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 serta menetapkan syarat tambahan sepertimana yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan
Mahkamah menetapkan 24 Ogos depan bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Baca: Pemain Liga Super ditahan polis selepas cederakan kekasih
UtusanTV sebelum ini melaporkan mangsa mengalami lebam di tangan dan beberapa kesan calar dan mendapatkan rawatan susulan di sebuah klinik swasta akibat kejadian tersebut.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

