KEPUTUSAN pengesahan lafaz cerai pelakon, Hafidz Roshdi terhadap isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri ditetapkan pada 27 Julai depan.
Hakim Syarie, Siti Rahmah Hussin menetapkan tarikh itu selepas mendengar prosiding daripada pasangan itu di Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini
Dalam prosiding itu, Hafidz selaku defendan dan Nurul Shuhada selaku plaintif selesai memberikan kenyataan masing-masing.
Hafidz menegaskan dirinya akan bersedia dengan apa jua keputusan mahkamah pada tarikh itu kelak.
Katanya, dia akan meneruskan silaturahim dengan keluarga kedua-dua pihak demi kepentingan kedua-dua anaknya walau apa jua keputusan yang akan dilakukan oleh mahkamah nanti.
“Berikan kami ruang untuk mencapai kata sepakat demi kepentingan Humairah dan Umar, anak saya,” katanya ketika ditemui selepas perbicaraan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Syariah Shah Alam, hari ini.
Dalam pada itu, hero dalam drama ‘Tundukkan Playboy Itu’ memberikan amaran agar orang ramai di luar sana menghentikan tuduhan yang tidak betul ke atasnya di media sosial.
“Banyak yang dikongsikan dalam media sosial yang memburuk-burukkan saya.
“Namun, demi perkembangan hidup baharu dan sihat saya ingin menegaskan agar perkara seperti ini tidak berulang lagi,” tambahnya.
Manakala Nurul Shuhada memberitahu bahawa dia menyerahkan segalanya kepada Allah sebagai persediaan untuk menghadapi keputusan mahkamah itu nanti.
“Saya serahkan segalanya kepada Allah. Tak sangka jalan cerita saya seperti ini, penuh dengan kejutan.
“Pintu hati saya sudah tertutup untuk Hafidz kerana ini ialah pilihan dia, dia yang pilih untuk ke arah ini. Tetapi saya berharap semuanya baik-baik sahaja,” katanya.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

