Seorang wanita maut selepas rumahnya dihempap bumbung Sekolah Menengah Kebangsaan Seg Hwa yang diterbangkan angin, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Segamat Penolong Penguasa Bomba Muhd Hazim Abdul Razak berkata V. Mahadevi, 55, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan.
Beliau berkata dalam kejadian malam tadi, lima anggota bomba yang berkejar ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.41 malam mendapati bumbung sekolah berkeluasan 5,400 kaki persegi yang diterbangkan angin telah menghempap sebuah rumah bersebelahan dengan sekolah.
“Terdapat seorang wanita dikeluarkan oleh orang awam (dari rumah itu) dan wanita berkenaan disahkan meninggal dunia. Mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya operasi tamat sepenuhnya pada pukul 8.21 malam.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Segamat Supt Ahmad Zamry Marinsah ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
— BERNAMA
Tuesday , 20 June 2023

