ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) berharap kerajaan melihat kepentingan gerakan koperasi dan wajar diberikan peruntukan lebih besar dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan nanti.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, ini kerana gerakan koperasi merupakan wadah untuk memperkasa ekonomi rakyat.
Menurut beliau, langkah tersebut bertepatan dengan agenda kerajaan Madani sekarang yang sentiasa mencari jalan untuk mengurangkan beban rakyat terhadap kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Misi kita tetap sama sejak dahulu. Perkasakan koperasi, perkasakan ekonomi rakyat.
“ANGKASA telah melakukan pelbagai usaha dan fokus kepada perkembangan gerakan koperasi agar suatu hari nanti mampu menyelesaikan masalah sosioekonomi rakyat.
“Jadi kita menggesa kerajaan mempertimbang dan memberi peluang kepada ANGKASA dan gerakan koperasi untuk turut serta dalam usaha tersebut dengan peruntukan yang lebih besar berbanding sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Libat Urus Belanjawan 2024 yang diadakan di Kementerian Kewangan, semalam.
Baca artikel berkaitan: Belanjawan 2024, ada ‘cahaya’ dalam perancangan ekonomi negara
Sebelum ini, ANGKASA telah bertemu dengan Pengarah Belanjawan Negara, Datuk Shahrol Anuwar Sarman bagi membentangkan tiga kertas kerja pemerkasaan gerakan koperasi di Malaysia.
Kertas kerja tersebut meliputi Program Kesedaran Percukaian Koperasi Dengan Kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pembangunan Ekosistem Ternakan Ayam dan Program Peruncitan dan Pemborongan Barang Asas 100 (BA100).
Dalam sesi libat urus tersebut, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sudah membelanjakan RM188 bilion setakat Jun lalu daripada dana keseluruhan RM386.14 bilion yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2023.
Jumlah tersebut meliputi 49 peratus daripada nilai keseluruhan.
Beliau juga turut mengumumkan beberapa langkah penting dan segera sebagai ikhtiar awal untuk merealisasikan Naratif Ekonomi Madani sebelum dibentangkan Belanjawan Madani 2024.
“Ini merupakan langkah khusus dalam menyegerakan pelaksanaan projek cakna rakyat walaupun kerajaan sudah membelanjakan sebanyak RM188 bilion atau bersamaan 49 peratus daripada peruntukan Belanjawan 2023 iaitu lebih tinggi berbanding perbelanjaan sebenar tempoh sama 2022 sebanyak RM170 bilion.
“Sebahagian program sudah dilaksanakan sebelum ini iaitu memberi pemusatan kuasa, peruntukan tambahan, dan kelonggaran tatacara perolehan yang boleh mempercepat pelaksanaan projek,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

