PIHAK pembelaan memberitahu Mahkamah Sesyen Ampang hari ini bahawa dua pertuduhan melakukan komunikasi seksual dengan dua orang remaja bawah umur menerusi platform Instagram yang dihadapi oleh usahawan kosmetik, Safiey Ilias disifatkan cacat.
Perkara itu diberitahu oleh Peguam, Harjeet Singh Sidhu berkata pihaknya memfailkan bantahan awal terhadap dua pertuduhan itu kerana ia tidak memperincikan butiran komunikasi seksual dengan mangsa secara khusus.
Ekoran itu menurut beliau, pihaknya mengalami kesukaran untuk menyoal balas saksi-saksi dan menyediakan pembelaan kelak sekiranya tiada butiran khusus tersebut.
Harjeet turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya masih belum menerima rakaman sesi perbualan di ‘Instagram Live’ serta rakaman daripada Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) yang diambil daripada kedua-dua remaja berkenaan daripada pihak pendakwaan.
Justeru beliau memohon pihak pembelaan dan pendakwaan diberi masa untuk mengemukakan penghujahan bertulis berhubung isu yang dibangkitkan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan berkata, pihak pendakwaan tidak mendapat sebarang notis bahawa isu bantahan awal itu akan dibangkitkan hari ini.
Nurfadzlin kemudian memohon agar mahkamah memberikan masa kepada pihak pendakwaan untuk mendapatkan arahan daripada Pengarah Pendakwaan Selangor dan menjawab bantahan awal itu.
Hakim Norhazani Hamzah kemudian mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis selewat-lewatnya 7 Ogos depan selain menetapkan tarikh keputusan bagi isu itu pada 24 Ogos depan.
Selain itu mahkamah turut menetapkan tarikh perbicaraan selama empat hari pada 4, 5 dan 11 September serta pada 2 Oktober depan.
Oleh itu, tarikh-tarikh perbicaraan yang sepatutnya bermula hari ini sehingga Khamis ini dilapangkan.
Menurut dua pertuduhan, Safiey atau nama sebenarnya Mohd Safiuddin Ilias, 28, didakwa berkomunikasi secara seksual melalui platform Instagram dengan dua remaja lelaki yang berusia 14 tahun ketika kejadian.
Sementara dua lagi pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal iaitu menggoyang-goyangkan payudara di hadapan dua remaja sama bagi maksud seksual.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Bandar Baru Bangi sekitar jam 9 pagi pada 9 Jun 2021.
Keempat-empat pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 11(1)(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun dan Seksyen 15 (a)(i) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

