MAHKAMAH Sesyen Petaling Jaya hari ini menolak bantahan awal pihak pembelaan berhubung pertuduhan yang dihadapi oleh ibu dan bapa kanak-kanak autistik allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin disifatkan sebagai pertuduhan cacat.
Hakim Dr. Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas mendapati pertuduhan yang dihadapi oleh pasangan suami isteri, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, masing-masing berusia 30 tahun itu adalah selaras mengikut undang-undang yang diperuntukkan.
“Selepas meneliti bantahan awal tertuduh, hujahan dan autoriti yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah mendapati pertuduhan di dalam kes ini adalah mengikut undang-undang yang diperuntukkan dan tidak defektif.
“Tiada unsur di dalam pertuduhan yang menunjukkan bahawa tertuduh dinafikan untuk pembelaan yang sewajarnya. Oleh itu, bantahan awal pembelaan ditolak,” katanya.
Selain itu, beliau turut menolak permohonan pihak pembelaan bagi menangguhkan prosiding perbicaraan yang dijadualkan bermula pada hari ini, sementara menunggu keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung notis usul pasangan itu untuk membatalkan pertuduhan.
Justeru, Dr. Syahliza mengarahkan agar perbicaraan pada hari ini dengan saksi pendakwaan pertama akan diteruskan bermula jam 2 petang nanti.
Ketika prosiding, Peguam Haresh Mahadevan yang mewakili kedua-dua tertuduh mengemukakan bantahan awal berhubung pertuduhan yang dikenakan ke atas anak-anak guamnya sebagai cacat ekoran tidak mendedahkan sebarang kesalahan di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.
Kata beliau, pertuduhan itu tidak memperincikan bukti dan cara pengabaian yang dihujahkan sebagai satu aspek penting bagi membolehkan tertuduh membela diri.
“Kita tidak boleh semudahnya mengatakan ‘mengabaikan’ atau ‘kemungkinan menyebabkan,’.
“Apa cara mungkin berlaku pengabaian seperti membenarkan kanak-kanak itu lari dari rumah seorang diri atau membiarkan kanak-kanak itu di satu tempat tanpa pengawasan orang dewasa, itu adalah contoh perincian kes-kes pengabaian,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz menghujahkan bahawa pertuduhan itu tidak cacat memandangkan ia tidak memerlukan butiran terperinci.
“Pertuduhan itu akan dibuktikan melalui keterangan saksi-saksi pendakwaan di mahkamah.
“Pada peringkat ini, tidak perlu memasukkan cara pengabaian dilakukan dalam pertuduhan,” katanya.
Pada Selasa lepas, Hakim Dr. Syahliza menolak permohonan pembelaan untuk melapangkan tarikh perbicaraan yang dijadualkan pada bulan ini dan Mac depan memandangkan notis usul yang difailkan tertuduh masih belum didengar di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Terdahulu pada 23 Januari lepas, UtusanTV melaporkan Zaim Ikhwan dan Ismanira telah membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam agar dibebaskan serta merta daripada pertuduhan mengabai anak sulung lelaki mereka itu.
Berdasarkan notis usul yang difailkan pada 21 Januari lalu, pasangan itu memohon agar kes yang dihadapi mereka dibatalkan atas alasan pertuduhan ke atas mereka itu tidak mendedahkan sebarang kesalahan mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.
Pasangan itu turut mendakwa bahawa mereka telah diprejudiskan dengan serius memandangakan pertuduhan itu tidak mengandungi maklumat yang mencukupi mengenai unsur-unsur kesalahan yang didakwa dilakukan oleh mereka.
Menurut pasangan itu lagi, ketiadaan fakta penting itu mengakibatkan mereka tidak tahu cara untuk mempertahankan diri sekaligus gagal memberikan arahan kepada peguam mereka.
Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan dan Ismanira mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, telah mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal di Jalan PJU Damansara Damai, Petaling Jaya, pada jam 12 tengah hari, pada 5 Disember 2023 hingga keesokannnya pada jam 9.55 malam.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

