PENSYARAH Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr Mohd Soberi Awang meninggal dunia awal pagi tadi ketika sedang menyampaikan kuliah Subuh di sebuah surau.
Allahyarham disahkan meninggal dunia kira-kira jam 7.55 pagi tadi semasa menyampaikan kuliah tersebut di Surau Al-Ittihadiyyah, Seksyen 9, Shah Alam, memetik laporan AlHijrah Online.
Allahyarham, difahamkan mengadu sakit dada ketika memberi kuliah sebelum rebah dan tidak sedarkan diri selang beberapa minit dengan beberapa jemaah yang hadir berusaha memberi bantuan.
Berita duka itu dimaklumkan oleh menantunya, Mus’ab Umairi di Facebook miliknya hari ini.
Menurutnya, dia mendapat tahu bapa mentuanya rebah ketika sedang memberi kuliah Subuh kepada para jemaah.
“Hari ini ayah mentua saya, almarhum Ustaz Dr Soberi Awang telah kembali kepada penciptanya. Subuh kami di Cairo dibasahi air mata rindu.
“Mendapat khabar berita Baba rebah semasa kuliah subuh di Surau Ittihadiah, Seksyen 9.
“Alhamdulillah atas nikmat bersama Baba walau cuma sekejap. Banyak Umai blajar daripada Baba.
“Moga Allah tempatkan Baba bersama para syuhada dan solehin,” tulisnya.
Sementara itu, badan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan, Aman Palestin turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham yang juga Perunding Aman Palestin.
“Salam takziah diucapkan buat ahli keluarga Allahyarham dan kenalan atas kehilangan seorang insan yang banyak memberikan bakti dan jasa buat pembangunan masyarakat Malaysia khususnya dalam menyampaikan ilmu-ilmu mengenai Palestin, Syria dan Yaman.
“Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Allahyarham juga merupakan Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).
Jenazah Allahyarham akan disolatkan selepas Maghrib di Surau Ittihadiyah sebelum dibawa ke Kemaman, Terengganu.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

