YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan sumbangan peribadi kepada balu mangsa nahas pesawat terhempas berdekatan Bandar Elmina, Khamis lalu.
Dalam hantaran di Facebook rasmi Istana Negara, sumbangan peribadi Al-Sultan Abdullah itu disampaikan Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Datuk Azuan Effendi Zairakithnaini kepada Adlina Aisyah Ahmad Rusli, semalam.
Adlina Aisyah adalah balu kepada Allahyarham Idris Abdol Talib@Ramali iaitu salah seorang mangsa nahas insiden pesawat terhempas tersebut.
Beliau pernah bertugas di Istana Negara dari tahun 2011 hingga 2015 sebagai Pegawai Pentadbir Sumber Manusia.
Dalam kunjungan ke kediamannya, Azuan Effendi turut menyampaikan ucapan takziah Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kepada Adlina Aisyah dan keluarga atas pemergian mengejut suami tersayang.
“Seri Paduka Baginda berdua turut berdukacita dan menzahirkan harapan agar Adlina Aisyah dan keluarga tabah dan sabar menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
Baca artikel berkaitan: Nahas Elmina: Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan takziah kepada keluarga mangsa
“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” menurut hantaran itu.
Idros merupakan pegawai Kerajaan Negeri Pahang yang berkhidmat di Pejabat Agama Islam Daerah Raub sebagai pegawai penguat kuasa, namun bercuti tanpa gaji awal tahun ini selepas berkhidmat sebagai pegawai khas kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Datuk Seri Johari Harun.
Dalam insiden pada Khamis lepas, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor, mengakibatkan 10 individu termasuk Johari maut.
Lapan yang maut adalah enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di tempat kejadian.
Pesawat itu yang berlepas dari Langkawi menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) mendapat kebenaran untuk mendarat pada 2.50 petang, namun terhempas dua minit sebelum mendarat.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

