
KELAZIMAN laporan dan perbincangan pertumbuhan, pembangunan dan cabaran ekonomi cenderung menumpu kepada peringkat Persekutuan. Terkini, Bank Negara dan Jabatan Perangkaan melaporkan pertumbuhan ekonomi negara 2.9% bagi suku kedua 2023.
Umumnya kelembapan ekonomi global memberi kesan kepada Malaysia. Aktiviti ekonomi domestik menjadi sandaran untuk pertumbuhan tahun 2023.
Prestasi negara adalah manifestasi prestasi negeri-negeri dan wilayah. Namun, prestasi peringkat negeri agak jarang dibincang. Tidak ramai yang tahu, kurang peduli. Kita lazim dengan pertumbuhan dan pendapatan negara. Bagaimana pula pertumbuhan setiap negeri dan wilayah? Bagaimana pertumbuhan ini menyalur kepada pendapatan rakyat di setiap negeri jarang diangkat? Kita perlu lebih cenderung membincangkan ehwal negeri.
Secara umumnya, pertumbuhan ekonomi dan tahap pendapatan menjadi petanda utama kepada kejayaan pembangunan. Seperti di peringkat Persekutuan, pemimpin kerajaan negeri juga merancang pembangunan masing-masing dan meletakkan sasaran pertumbuhan dan pendapatan yang akan dicapai. Seharusnya pertumbuhan dan pendapatan menjadi antara kayu ukur penting menilai prestasi kepimpinan di peringkat negeri. Namun jarang sekali prestasi ini diuar-uarkan.
Ada dua carta bebola saya paparkan di bawah. Carta di sebelah kiri menggunakan data 2016-2019 (sebelum pandemik Covid-19) dan pendapatan isi rumah penengah 2019. Carta di sebelah kanan menggunakan data sehingga 2022 (meliputi pasca Covid-19).
Untuk memahaminya tumpu kepada carta kiri. Sebelum pandemik Covid-19 melanda (purata untuk 2016-2019), Malaysia mencatat pertumbuhan purata 4.9% setahun dan pendapatan penengah isi rumah 2019 ialah RM5,873 sebulan.
Bagaimana pula prestasi ekonomi negeri-negeri dan wilayah utama (Kuala Lumpur)? Adakah semua mengikut rentak yang sama seperti Malaysia?

Bebola berwarna ‘merah’ adalah negeri/wilayah yang saya labelkan sebagai ‘lokomotif’ ekonomi negara. Negeri/wilayah lokomotif ialah Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor, Melaka (Melaka terkeluar dari senarai lokomotif selepas pandemik Covid-19). Kuala Lumpur dan 4 negeri ini merekodkan pertumbuhan dan tahap pendapatan yang lebih tinggi daripada purata pertumbuhan dan pendapatan penengah isi rumah negara.
Kesemua 5 negeri/wilayah lokomotif berada dalam zon ‘pertumbuhan tinggi-pendapatan tinggi’. Saiz bebola menggambarkan jumlah sumbangan ekonomi negeri/wilayah berkenaan kepada ekonomi negara. Sekitar 62% dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disumbangkan oleh negeri/wilayah lokomotif.
Bagaimana pula dengan 9 negeri yang lain? Sekitar 49% rakyat Malaysia tinggal di 9 buah negeri ini. Sangat merisaukan. Jurang antara negeri ‘sangat’ jelas dan ketara. Semakin melampau. Kesemua 9 negeri ini saya labelkan sebagai terkebelakang
atau ‘laggards’. Negeri-negeri ini merekodkan pertumbuhan dan tahap pendapatan yang lebih rendah daripada purata pertumbuhan dan pendapatan penengah isi rumah negara. Berada dalam zon ‘pertumbuhan rendah-pendapatan rendah’.
Data pendapatan mengikut tahun juga menunjukkan jurang yang semakin melebar. Jurang pendapatan negeri terkaya (Selangor) berbanding negeri termiskin (Kelantan) semakin besar, RM2,593 pada tahun 2009 dan kini RM6,369 pada 2022. Peningkatan pendapatan perlahan dan kekal rendah di 9 negeri terkebelakang.
Perhatian yang khusus amat perlu terutama bagi 9 negeri terkebelakang. Jurang pertumbuhan dan pendapatan antara negeri lokomotif-negeri terkebelakang adalah sangat membimbangkan. Malaysia tidak boleh berterusan begini. Pertumbuhan dan pembangunan ekonomi
MESTI bersifat inklusif. Semua negeri-semua rakyat mesti merasa. Saya yakin ini juga antara teras Ekonomi Madani.

Perancangan pembangunan khusus-negeri (state-specific) sangat diperlukan. Belanjawan negeri tahunan sahaja tidak mencukupi. Di samping pelan-pelan pembangunan induk dan sektoral negara, kita mesti beri perhatian yang khusus untuk setiap negeri, khususnya negeri terkebelakang (laggards) yang perlu membuat ‘catch-up’, mengejar negeri-negeri lokomotif.
Perancangan pembangunan bersifat khusus-negeri (state-centric) sangat penting. Negeri-negeri dan wilayah lokomotif juga tidak boleh leka. Terus membangun dengan pantas. Pastikan sifat lokomotif ini mampan dan semua merasa manfaatnya.
Sasaran-sasaran pertumbuhan dan pembangunan khusus-negeri perlu diangkat, diuar-uarkan kepada khalayak. Pelaksanaan dan kemajuan mesti dipantau dan dilaporkan. Jangan dipinggir atau didiamkan. Kepimpinan kerajaan negeri mesti menerajui dan bertanggungjawab. Bukan matlamat untuk menyamai negeri/wilayah lokomotif tetapi memadai dapat mengurangkan jurang secara terancang. Mungkin menyamai satu hari nanti!
Pelan strategik pembangunan negeri mesti diwujudkan. Kerjasama Persekutuan-Negeri mesti diperkukuhkan. Kementerian Ekonomi tidak lagi boleh bersifat Putrajaya-centric. Bagaimana perancangan induk negara akan mengesani setiap negeri perlu diperjelaskan. Tidak boleh dipisahkan, padah akibatnya. Kita maklum pemimpin berbeza dengan pendirian politik. Sebagai ahli ekonomi, seruan saya-bersama untuk pembangunan ekonomi, perbezaan politik tidak boleh dijadikan halangan untuk pembangunan ekonomi. Rakyat yang merana.
Bank Dunia dan Menteri Ekonomi mengunjurkan Malaysia akan mencapai status negara berpendaptan tinggi di antara tahun 2024-2028.
Jangan nanti kejayaan negara ini tidak dirasai sebahagian daripada rakyat Malaysia dan ada yang berkata, Negara yang berpendapatan tinggi, bukan saya!
MINDA-UKM: Bersama Membangunkan Negara
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

