KALIMAH ‘Wallahi Wabillahi Watallahi’ tidak pernah digunakan ketika upacara angkat sumpah dalam Dewan Parlimen sejak tahun 1957 lagi.
Yang Di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menegaskan, ia seperti telah dinyatakan dalam Jadual Keenam di bawah Artikel 59(1) Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Wan Junaidi, penyataan sumpah itu adalah mengikut Peraturan Mesyuarat 5 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat seperti yang telah dijawab oleh Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Katanya, penyataan sumpah yang hendak dilafazkan perlu mengikut seperti yang disebutkan dalam Jadual Keenam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, kalimah ‘Wallahi Wabillahi Watallahi’ hanya disebut dalam penyataan angkat sumpah oleh Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong seperti yang dinyatakan dalam Jadual Keempat.
“Apabila Perlembagaan Persekutuan digubal dan dikuatkuasa pada 31 Ogos 1957, penyataan sumpah Ahli Parlimen telah ada dalam Jadual Keenam di bawah Perkara 59(1) Perlembagaan Persekutuan dan tidak pernah ada menyebut kalimah ‘Wallahi Wabillahi Watallahi’.
“Seterusnya semasa tahun pembentukan Malaysia pada 1963, terdapat pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan rujuk Akta 26/1963 di mana perkataan ‘Persekutuan Tanah Melayu’ yang disebut dalam penyataan sumpah Ahli Parlimen telah dipinda kepada ‘Malaysia’ dan tiada perubahan lain di dalam penyataan sumpah itu dicatat.
“Oleh yang demikian, saya berharap agar penerangan dan perkongsian saya ini dapat memberi maklumat yang jelas kepada Ahli Parlimen serta orang awam yang telah menyaksikan sidang perbahasan Dewan Rakyat di media elektronik dan internet,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Tiada lafaz ‘Wallahi, Wabillahi, Watallahi’ ketika angkat sumpah Ahli Parlimen – Fahmi
Sebelum ini, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim meminta penjelasan Johari berhubung kalimah ‘Wallahi Wabillahi Watallahi’ tidak dilafazkan Ahli Parlimen Kulai, Suhaizan Kayat ketika mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, Johari memberi jawapan bahawa perkara itu tiada dalam peraturan mesyuarat.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dalam video dimuat naik di TikTok turut menjelaskan bahawa kalimah berkenaan sememangnya tidak dilafazkan ketika majlis angkat sumpah Ahli Parlimen, bukan sahaja bagi penggal ini tetapi termasuk penggal-penggal yang lepas.
Fahmi berkata untuk memastikan kesahihan dakwaan yang dibangkitkan Shahidan itu, beliau telah meneliti semua upacara majlis angkat sumpah Ahli Parlimen yang berlangsung sebelum ini.
Ia turut membabitkan angkat sumpah oleh Shahidan dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada tahun lepas, Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin (2018), Ahli Parlimen Marang Tan Sri Abdul Hadi Awang (2013) dan terbaharu Suhaizan baru-baru ini.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

