Wan Saiful mengaku tak bersalah 18 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM5.6 juta

Auzaee Athallah
Auzaee Athallah
Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

Dari Penulis

AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mengaku tidak bersalah atas 18 pertuduhan mengubah wang haram berjumlah 5.6 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

Wan Saiful mengangguk faham sebelum membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin pagi ini.

Mengikut satu pertuduhan, Wan Saiful, 48, didakwa memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM78,800 daripada akaun syarikat WSA Advisory Group Sdn. Bhd. miliknya bagi pembelian Ford Ranger.

Sementara mengikut lima pertuduhan lain, beliau didakwa menggunakan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM3.9 juta menerusi tujuh cek milik syarikat sama yang dibayar kepada beberapa syarikat antaranya Jendela Timur Consultant, Duckling Management & Services dan Fendi Dilif Resources.

Manakala bagi 12 lagi pertuduhan, beliau sebagai Pengarah Syarikat WSA Advisory Group Sdn Bhd didakwa memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1.6 juta menerusi cek dan dibayar kepada antaranya Majlis Sukan Negara Malaysia, Chin Kang Hardware Jitra, Syed Jaafar Syed Abd Aziz, Sinar Karangkraf Sdn. Bhd., Akademi Gagasan Minda Merdeka, dan Good Square Sdn. Bhd.

Kesalahan-kesalahan itu dilakukan di cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku di Taman Tunku, di sini antara 12 Ogos hingga 7 November 2022.

Kesemua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Farah Ezlin Yusop Khan sementara Wan Saiful diwakili peguam, Amer Hamzah Arshad.

Hakim Suzana menetapkan jaminan sama yang digunakan bagi kes predikat (kes rasuah) yang dihadapi oleh Wan Saiful sebelum ini di Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim Azura Alwi sebanyak RM400,000 digunapakai bagi kes ini.

Jaminan itu termasuk syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di Ibu Pejabat SPRM setiap dua bulan sekali pada minggu pertama.

Mahkamah kemudian menetapkan 1 Disember depan bagi sebutan semula kes.

Sebelum ini pada 21 Februari lalu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan termasuk menerima rasuah RM6.9 juta berhubung projek Jana Wibawa.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kes buli: ‘Jika terbukti salah, mereka hendaklah disingkirkan daripada MRSM’

PENGERUSI Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengarahkan tindakan tegas diambil terhadap enam pelajar Tingkatan Lima...

More Articles Like This