SEORANG juruelektrik warga Indonesia didakwa di Mahkamah Majistret Ampang hari ini kerana menyebabkan kecederaan ke atas seorang remaja perempuan 14 tahun di sebuah pusat jagaan anak yatim di Ampang pada 22 Oktober lalu.
Tertuduh, Zainal Abidin, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top.
Peguam Wan Nur Afifah Che Bakar yang mewakili tertuduh merayu anak guamnya dibenarkan jaminan memandangkan penanggung tunggal kepada isterinya yang tidak bekerja dan dua lagi anaknya berusia 9 bulan dan 5 tahun.
“Selain itu gaji tertuduh selaku penyelenggara di pusat jagaan anak yatim tersebut sebanyak RM1,600. Mohon jaminan yang minimum dan munasabah dibenarkan,” kata peguam itu.
Timbalan Pendakwa Raya, Norhidayah Abdullah Sani kemudian tidak mencadangkan sebarang jaminan ke atas tertuduh memandangkan
dia bekerja di pusat jagaan anak yatim itu dan dikhuatiri mangacau ganggu mangsa serta saksi pendakwaan.
“Sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara dan membenarkan jaminan, mohon sejumlah jaminan yang tinggi beserta syarat-syarat tambahan,” hujah Norhidayah.
Majistret Amalina kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan dua penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali, dan tidak mendekati mangsa serta saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 9 Januari depan bagi sebutan semula kes dan laporan perubatan.
Sementara itu di Mahkamah Majistret berasingan, Zainal turut mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan tinggal di negara ini melebihi tempoh yang sah selama lebih lima bulan dari tarikh tamat tempoh masuk ke Malaysia pada 1 Mei lalu.
Kesalahan itu dilakukan di lokasi sama, sekitar jam 5.05 petang pada 26 Oktober lalu dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) Akta sama.
Majistret Normaizan Rahim membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 bagi pertuduhan itu selain turut mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berdekatan pada setiap 2 haribulan.
Mahkamah turut menetapkan 9 Januari depan bagi sebutan semula kes.
Baca: Dua ditahan babit kes dera serta amang seksual anak yatim
Pada 27 Oktober lalu UtusanTV melaporkan dua lelaki yang bekerja di sebuah pusat jagaan anak yatim selepas dipercayai terlibat dalam kejadian mendera serta melakukan amang seksual terhadap dua remaja perempuan.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pengadu pertama iaitu seorang perempuan berusia 14 tahun mendakwa telah dimarahi oleh seorang pekerja warga asing sebelum dipukul.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

