KEPUTUSAN sama ada Malaysia akan memboikot sidang Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang dijadual diadakan di San Francisco, Amerika Syarikat (AS), bulan ini akan ditentukan dalam masa terdekat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, keputusan tersebut akan diteliti dan diumumkan dalam tempoh satu ke dua hari lagi
Katanya, Malaysia sedang berkoordinasi dengan negara yang terlibat dengan sidang APEC itu.
Pada masa sama, beliau berkata, kebanyakan negara akan menghadiri sidang tersebut.
“Tidak (boikot). Kita sedang mengkoordinasi dengan negara terbabit. Setakat ini kebanyakan negara akan hadir,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Malaysia Digital Expo 2023 (MDX 2023), hari ini.
Terdahulu, beliau ditanya media sama ada Malaysia akan memboikot APEC sebagai tanda solidariti terhadap konflik kemanusiaan di Palestin.
Minggu lalu, sewaktu sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, Perdana Menteri memberitahu bahawa Malaysia sedang berhubung dengan negara Asia lain bagi mengetahui pendirian sama ada mahu memboikot sidang APEC.
Katanya, Malaysia akan mengambil keputusan yang selari dengan pendirian negara-negara lain.
Beliau menjawab pertanyaan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang bertanyakan sama ada Malaysia bercadang untuk memboikot sidang APEC sebagai tanda solidariti terhadap Palestin.
Baca artikel berkaitan: Boikot APEC: Malaysia ambil keputusan selaras negara Asia lain – PM
Perdana Menteri dijadualkan mengetuai delegasi Malaysia ke persidangan APEC di San Francisco, bulan ini.
Anwar turut dipelawa bagi mesyuarat berasingan dengan Presiden AS, Joe Biden.
APEC yang ditubuhkan pada 1989, adalah satu forum ekonomi serantau bagi memanfaatkan kebergantungan yang saling meningkat di Asia Pasifik.
Selain itu, 21 anggota Ekonomi APEC menyumbang hampir 40 peratus daripada penduduk global atau hampir 50 peratus daripada perdagangan global serta lebih 60 peratus eksport barangan AS.
Negara anggota APEC adalah Australia, Brunei, Kanada, Chile, China, Hong Kong, Malaysia, Indonesia, Jepun, Korea, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Rusia, Singapura, Taipei, Thailand, AS dan Vietnam.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

