Apakah kedudukan akhir Malaysia mengenai konflik Israel-Palestin di Gaza?

Dari Penulis

OLEH: DR WAN MOHD HASNI WAN SULAIMAN

ADALAH mudah untuk meletakkan konflik Palestin dan Israel yang berlaku pada hari ini di dalam konteks konflik agama antara orang Islam dan Yahudi. Ia juga mudah untuk berbuat demikian, kerana umat Islam mempunyai bukti yang diambil dari al-Quran dan sabda Nabi SAW, selain fatwa dan pendapat agama dari ramai ulama Islam, dahulu dan sekarang.

Kini kita juga mempunyai pandangan lain yang dipetik dari Alkitab, yang membenarkan keadaan ketika ini sebagai pertempuran untuk memusnahkan negara Israel atau Palestin dari tanah air mereka.

Sebaliknya, pihak lain yang tidak mahu atau melihat konflik itu sebagai konflik agama (iaitu antara orang Islam dan Yahudi), mengambil pendirian dari perspektif sejarah iaitu dengan mengatakan bahawa peristiwa pada 7 Oktober tidak berlaku secara berasingan.

Realitinya, apa yang berlaku adalah akibat daripada penafian sejak sekian lama terhadap hak rakyat Palestin untuk tinggal di bumi mereka sendiri, iaitu Tanah Palestin (yang kini terbahagi kepada dua, negara Israel dan wilayah Palestin yang diduduki).

Kumpulan ketiga pula mengkategorikan konflik tersebut bermula dengan tindakan pencerobohan militan Hamas dari Gaza ke atas Israel melalui tindakan keganasan, yang seterusnya memberi hak kepada Israel untuk bertindak “mempertahankan diri”.

Objektif yang dinyatakan adalah untuk menghapuskan Hamas “dari muka bumi”, serta “menghancurkan infrastruktur ketenteraan Hamas di Gaza” sehingga tinggal runtuhannya sahaja.

Jika kita hendak berhujah manakah yang betul di antara tiga perspektif tersebut, tatkala hujah itu dapat disimpulkan, Gaza seperti yang kita ketahui sebelum ini mungkin tidak akan wujud lagi.

Berpuluh-puluh ribu nyawa rakyat Palestin akan terkorban dan berjuta-juta rakyatnya terpaksa dipindahkan secara kekal. Apa sahaja yang tinggal di Gaza dan penduduknya, telahpun rosak dan musnah sama sekali, secara fizikal serta trauma yang dialaminya.

Diplomasi antarabangsa, seperti melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah terbukti tidak mampu menghalang kesudahan yang amat tragis ini.

Ancaman perang yang semakin melarat sehingga di luar Gaza nampaknya semakin mereda ketika ini, terutamanya selepas Hizbullah mengisytiharkan mereka tidak akan terlibat secara langsung dalam konflik tersebut, seperti yang dinyatakan oleh pemimpinnya, Hasan Nasrallah.

Nampaknya Iran sendiri tidak bersedia menghadapi perang serantau berskala penuh, dengan mereka kelihatannya telah diancam sejak awal. Ancaman itu dilihat telah berjaya setakat ini. Malah naratif Amerika Syarikat dan Israel dengan mengisytiharkan konflik tersebut sebagai perang Israel-Hamas nampaknya mampu menghalang pihak lain dari menyertai konflik yang berlaku.

Dalam erti kata lain, pihak lain terpaksa akur untuk menyelesaikan isu antara Israel dan Hamas ini tanpa penglibatan langsung mereka. Ini termasuk negara Arab di rantau ini, seperti Jordan, Mesir, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.

Keadaan ketika ini memerlukan pemahaman tentang apa yang berlaku secara realistik dan pragmatik. Kita terlibat dalam situasi terdapat dua kuasa yang berlawan antara satu sama lain iaitu Pasukan Pertahanan Israel (atau digelar sebagai IDF) berbanding militan Hamas di Gaza. Keadaan ini boleh disifatkan sebagai situasi “ground zero”.

Kerajaan Israel hari ini bukan lagi kerajaan Netanyahu, kini ia adalah Kerajaan Perpaduan yang dibentuk sejurus selepas kejadian 7 Oktober. Kerajaan Perpaduan Israel hari ini dikuasai dan dikawal oleh IDF, melalui individu seperti Yoav Gallant (Menteri Pertahanan), Benjamin Gantz (bekas Menteri Pertahanan dan Ketua Pembangkang), serta lain-lain tokoh dari IDF, dengan Netanyahu hanya sebagai simbolik Ketua Negara.

Semua keputusan kerajaan Israel adalah berdasarkan keputusan IDF. IDF, seperti yang wujud hari ini didominasi oleh keturunan Israel “generasi kedua”, iaitu mereka yang dilahir dan dibesarkan di Israel. Ia bukan IDF yang sama seperti empat puluh tahun yang lalu.

IDF mewakili Israel, percaya bahawa tiada tempat lain untuk orang Israel, kecuali untuk mengukuhkan diri mereka di negara sendiri. Inilah satu-satunya masa depan yang ada untuk anak-anak mereka dan generasi Israel seterusnya.

Sebarang keinginan untuk melihat IDF dipecahkan dari dalam adalah satu kesimpulan yang tidak masuk akal.

Di sudut yang lain, kita mempunyai militan Hamas di Gaza serta Pihak Berkuasa Palestin di Tebing Barat. Kedua-duanya adalah organisasi yang tidak tersusun, yang pernah bertempur antara satu sama lain suatu ketika dahulu. Selain itu, nampaknya militan Hamas di Gaza hari ini tidak lagi selari dengan kepimpinan politik mereka yang tinggal di luar negara (terutamanya ditempatkan di Qatar).

Sejauh mana kekecewaan antara kepimpinan politik Hamas dan militan Hamas di Gaza masih belum dapat difahami sepenuhnya. Sebarang harapan untuk Pihak Berkuasa Palestin terlibat secara langsung di Gaza juga merupakan satu kesimpulan yang tidak masuk akal.

Dalam erti kata lain, militan Hamas di Gaza akan bersendirian dengan keputusannya sendiri. Pada peringkat ini, harapan untuk mereka mendengar apa-apa pandangan dari pihak lain di luar Gaza nampaknya tidak akan berlaku.

Apa yang ada ketika ini ialah IDF, yang objektifnya ialah untuk menghapuskan Hamas dan semua infrastruktur sokongannya dan pihak satu lagi ialah militan Hamas yang bertekad akan bertempur mati-matian di kawasan Gaza, dengan apa jua cara walaupun melibatkan kemusnahan di Gaza serta mengorbankan rakyatnya sendiri.

Dalam strategi pertempuran, saya tidak pasti strategi mana yang diambil oleh militan Hamas ini – sama ada strategi Sparta dalam Pertempuran Thermopylae, yang berjuang mati-matian untuk menghalang pencerobohan oleh pihak lawan; atau adakah pendekatan Pertempuran Okinawa oleh Jepun yang digunakan Hamas, untuk membuktikan bahawa pencerobohan adalah sia-sia; atau adakah Hamas meniruya dari Vietcong semasa perang Vietnam.

Baca artikel berkaitan: Jumlah penduduk Palestin terkorban di Gaza meningkat kepada 10,000

Malangnya, tidak kelihatan sebarang strategi yang diambil dari sejarah Islam. Mungkin yang paling hampir ialah Perang Parit (Al-Khandaq) pada zaman Nabi SAW, namun kini kelihatannya ia sama sekali berbeza.

Strategi IDF adalah jelas iaitu memerangi perang yang disifatkannya sebagai “perang yang lama” sehingga objektif yang dingininya tercapai. Tidak mungkin IDF akan berpatah balik pada apa yang telah dimulakan, dan mereka akan berjuang sehingga akhir dengan apa jua cara dan kosnya.

Walaupun seluruh dunia menentang mereka, IDF akan terus berjuang untuk mencapai matlamat yang diingininya – iaitu menghapuskan Hamas secara total.

Adalah mudah untuk difahami, bahawa bangsa Israel tidak mempunyai tempat lain untuk pergi, kecuali menetap di Israel; dan untuk itu, sebarang ancaman terhadap kewujudan mereka perlu dihapuskan.

Bagi IDF, perang ini bukan mengenai agama atau bangsa mereka – tetapi ia mengenai kewujudan dan survival negara Israel itu sendiri.
Dalam keadaan ini, terdapat kecenderungan “whirpool effect”, yang semua negara lain bakal ‘disedut’ ke kancah konflik Israel-Hamas, bukan dengan pilihan, tetapi dengan kekerasan.

Ini adalah satu keadaan yang mesti ditentang serta dihalang oleh semua sekiranya tidak mahu perang yang berlaku ini semakin melarat. Keadaan untuk perang yang lebih luas berlaku adalah jelas dan bakal mendatangkan bahaya kepada manusia.

Sebagai sebuah negara kecil, Malaysia mesti mengambil semua langkah yang perlu untuk mengelakkan peperangan ini dan mengemudi jalan keluar yang jelas daripada bahana perang ini.

Malaysia tidak boleh mengambil mudah risiko perang yang bakal melarat ini. Malah peperangan di Ukraine berlaku jauh dari negara ini tetap memberi kesan secara langsung (melalui isu ekonomi) kepada kita, justeru perang di Timur Tengah akan membawa malapetaka kepada negara kita serta rantau ASEAN.

Pada masa yang sama, kita juga berdepan masalah dalam situasi domestik negara yang melibatkan konflik ini. Kita mempunyai tekanan domestik yang kuat dari sesetengah pihak yang mahu menjadikan isu di Gaza ini sebagai “perang Islam menentang Zionis” – yang berbeza pandangan dengan saya. Kita selaku rakyat Malaysia tidak pernah dirunding oleh Hamas atau sesiapa jua untuk memulakan perang tersebut.

Malah, ramai umat Islam Malaysia yang pernah terpikat dengan Hamas, mengambil isu Palestin ini sebagai isu agama, yang menjadi kewajipan umat Islam untuk memerangi dan membela sesama Muslim Palestin yang mempertahankan Tanah Suci Al-Aqsa.

Untuk itu, naratifnya sentiasa mengatakan bahawa orang Islam mesti memerangi orang bukan Islam serta membebaskan Masjid Al-Aqsa daripada kawalan mereka.

Isu masjid Al-Aqsa, sejak kebelakangan ini, entah bagaimana ia dibayangi oleh peristiwa dan konflik yang berlaku di Gaza.

Yang paling utama ketika ini ialah bagaimana kita mahu menyelamatkan penduduk Gaza, khususnya wanita dan kanak-kanak yang sama sekali tidak berdaya dan terperangkap di lembah kematian dan kemusnahan. Saya tidak pasti tentang “kesucian Islam” tentang bumi Palestin (apa yang masih ada), melainkan hak mereka untuk tinggal di bumi sendiri. Jelas perkara ini adalah mengenai hak asasi manusia.

Sebagai rekod, setakat pengetahuan saya, penguasaan masjid Al-Aqsa dan Dome of the Rock berada di tangan Waqaf Jerusalem (di bawah kuasa Jordan) sehingga hari ini. Kita mesti memisahkan antara isu Al-Aqsa dan apa yang berlaku di Gaza pada hari ini.

Malaysia, sejak sekian lama, mengambil kedudukan rasmi dalam penyelesaian dua negara untuk menyelesaikan masalah yang berlaku di Palestin. Ini adalah selaras dengan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta apa yang telah diisytiharkan dalam Perjanjian Oslo.

Malaysia tidak pernah mengisytiharkan perang terhadap Israel serta tidak pernah berperang dengan negara tersebut. Ini adalah fakta. Di sebalik pelbagai retorik ramai pemimpin Malaysia sejak zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Badawi dan Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini mengesahkan pendirian lama Malaysia, dengan menjelaskan lebih lanjut mengenai penyelesaian dua negara, semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) baru-baru ini.

Saya rasa tidak wujud sebarang kekeliruan dalam pendirian negara tersebut. Pendirian ini juga menjelaskan bahawa Malaysia tidak melihat konflik Palestin sebagai konflik agama serta isu masjid Al-Aqsa diterima sebagai sebahagian daripada penyelesaian dua negara.
Isu ketika ini yang perlu disentuh ialah mengenai sokongan rakyat Malaysia kepada Hamas. Ini adalah isu yang sangat dipertikaikan kerana Hamas telah menggunakan Malaysia sebagai salah satu pangkalan sokongannya sejak sekian lama. Malah, ada pemimpin Hamas yang tinggal di negara ini, ada yang belajar di sini malah berpindah sebagai penduduk Malaysia.

Tambahan pula, banyak NGO di Malaysia yang mengumpul dana untuk menyokong Hamas, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dan menyalurkannya ke Gaza.

Memandangkan aktiviti-aktiviti ini telah dibenarkan (secara tidak rasmi) oleh pihak berkuasa Malaysia, maka tidak banyak akauntabiliti serta semak dan imbang yang dikenakan. Oleh sebab itu, kini Malaysia mempertaruhkan sekatan pembiayaan keganasan oleh Amerika Syarikat berdasarkan resolusi yang diluluskan oleh Kongres dan Senat Amerika Syarikat.

Apa yang kita boleh lihat ialah sekatan yang sama yang dilakukan selepas serangan 9/11, kini diulangi sekali lagi. Sejauh mana sekatan ini mampu dilaksanakan, masih belum dapat dilihat dan direalisasikan.

Apa yang boleh saya katakan, Malaysia jelas tidak mampu menghadapinya jika ia dikenakan ke atas negara ini. Inilah ancaman yang diberikan kepada Malaysia baru-baru ini oleh mereka. Ia bukannya “ancaman yang samar-samar” tetapi ancaman yang nyata.

Dalam masa beberapa hari, jika tidak berbulan-bulan, kerajaan Malaysia mesti memutuskan pendiriannya terhadap Hamas, sama ada kita suka atau tidak dan ini tidak dapat dielakkan.

Dalam penulisan ini, saya menggunakan istilah militan Hamas untuk membezakan apa yang saya fahami sebagai idea asal Hamas sejak ia ditubuhkan, iaitu sebagai gerakan penentangan negara Palestin yang merdeka untuk rakyat Palestin. Penghancuran Negara Israel dan pembunuhan sembarangan orang awam Israel bukanlah sebahagian daripada idea asal Hamas.

Hamas dimulakan sebagai sebuah pertubuhan politik, sebagai pemisahan dari Ikhwanul Muslimin. Ikhwanul Muslimin tidak pernah bersetuju dengan perjuangan bersenjata dan sebarang bentuk keganasan, khususnya, kekejaman yang telah dilakukan pada 7 Oktober.

Untuk itu juga, kepimpinan Hamas di luar Gaza, yang tinggal di luar negara seperti di Qatar dan di lain-lain tempat, jelas tidak lagi mampu mengawal militan Hamas di Gaza. Untuk perkara itu juga, Malaysia tidak mempunyai apa-apa pengaruh ke atas hal ehwal militan Hamas, situasi yang sama seperti Qatar dan Turkiye. Malah, Qatar adalah satu-satunya negara yang mempunyai pengaruh terhadap kepimpinan Hamas. Untuk itu, nampaknya usaha Qatar membebaskan tebusan itu sudah menemui jalan buntu.

Erdogan dan Turkiye dalam hal ini, lebih tertumpu kepada hal ehwal dalam negeri mereka sendiri dan rakyat berbahasa Turki, lebih daripada hal ehwal luar seperti peristiwa yang berlaku baru-baru ini.

Malaysia juga mesti mengutamakan kepentingan negara sendiri terlebih dahulu. Kita harus jelas mengenai kepentingan kita itu terhadap persekitaran semasa. Mana-mana pihak yang mahu mendahulukan kepentingan pihak lain melebihi kepentingan negara sendiri adalah salah sama sekali. Kita perlu sedar bahawa Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agamanya. Kita mewakili negara yang cintakan keamanan serta percaya kepada hak asasi manusia dan cita-cita demokrasi.

Pada pandangan saya, ramai pihak di luar hanya mengambil kesempatan atas sifat lembut dan baik hati Malaysia serta pendekatan sederhana kita yang bercorak Islam sebagai sebuah negara.
Krisis yang berlaku ketika ini akan menguji watak sebenar Malaysia sebagai sebuah negara.

Mereka yang menggunakan konflik semasa untuk meneruskan agenda politik domestik mereka, atas nama konflik agama adalah salah sama sekali dengan meletakkan kepentingan kumpulan mereka di atas kepentingan negara. Apapun yang berlaku, Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai caranya tersendiri mestilah diutamakan.

Ekstremisme agama dalam apa jua bentuk bukanlah sebahagian daripada watak kita. Keganasan dalam apa jua nama, tidak boleh berlaku dalam sistem kepercayaan kita.

Peperangan di Gaza pasti akan berakhir satu hari nanti dan demi kemanusiaan, ia perlu ditamatkan segera. Peperangan ini hanya boleh berakhir apabila salah satu pihak dalam konflik ini bersetuju untuk menamatkannya. Ia berada di tangan militan IDF dan Hamas di Gaza dan tiada mana-mana pihak termasuk Amerika Syarikat, boleh melakukan apa sahaja untuk menghalangnya. Jika Gaza perlu diduduki semula oleh rakyat Palestin, jelas ia memerlukan pembinaan semula secara besar-besaran, termasuk infrastruktur dan kehidupan rakyatnya.

Jika Malaysia boleh menjadi sebahagian daripada negara yang dapat membantu proses pembinaan semula ini, sebagai sebahagian daripada kewajipan kemanusiaan kita sesama rakyat Palestin, ini akan menjadi tindakan paling bertanggungjawab yang dapat kita laksanakan. Melanjutkan perang, dengan mencetuskan kebencian dan mempromosikan keganasan hanya merugikan kita sendiri.

Nota: Pandangan yang dikemukakan di atas adalah pendapat peribadi saya dan tidak mencerminkan pendapat orang lain. Pandangan ini adalah milik saya dan saya sahaja.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Lima penumpang cedera, LRT berhenti serta-merta berhampiran Stesen Dang Wangi

LIMA orang penumpang mengalami kecederaan selepas tren transit aliran ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya berhenti secara serta-merta ketika berada...

More Articles Like This