AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki memohon pertimbangan supaya penternakan babi dibenarkan di Selangor.
Siew Ki berkata, penternakan babi sepatutnya tidak dibezakan dengan penternakan haiwan lain kerana haiwan lain juga menghasilkan risiko pencemaran dan kesihatan yang sama.
Beliau yang juga wakil rakyat DAP turut melihat isu tersebut sebagai menyentuh hak kesamarataan warganegara yang terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Mengenai isu penternakan babi, dalam titah ucapan Tuanku, Seri Kembangan memohon ‘Ampun Tuanku’ menyembah bahawa isu ini menyentuh hak kesamarataan warganegara yang terjamin di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.
“Pertenakan babi tidak seharusnya dibezakan dengan penternakan haiwan yang lain.
“Risiko pencemaran, aspek kebersihan serta kesihatan dalam penternakan babi adalah sama seperti penternakan haiwan yang lain,” katanya dalam perbahasan menjunjung kasih titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Siew Ki berkata, isu babi telah dijadikan sebagai isu politik yang dimainkan pelbagai pihak termasuk ahli politik.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

