AHLI Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi pernah mendakwa ditawarkan ganjaran lumayan.
Ganjaran berupa wang itu didakwa telah ditawarkan oleh ‘broker’ politik.
Perkara itu didedahkan Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor seperti dilaporkan BH Online, hari ini.
Menurut Kamaruddin, Mohd Azizi telah memaklumkan sendiri mengenai ganjaran lumayan itu, Sabtu lalu.
Bagaimanapun, Kamaruddin berkata, Ahli Parlimen Gua Musang itu memaklumkan sudah pun menolak kesemua tawaran tersebut.
“Pada Sabtu lalu ketika kita mengadakan mesyuarat BERSATU negeri, beliau (Mohd Azizi) hadir dan memaklumkan ada broker politik menawarkan sejumlah wang yang lumayan serta lain-lain manfaat sekiranya membuat kenyataan menyokong Perdana Menteri.
“Beliau mengatakan sudah menolak kesemua tawaran berkenaan dan kami mengucapkan tahniah kepada beliau atas penolakan berkenaan,” katanya.
Baca artikel berkaitan: Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi pemimpin Bersatu terbaru sokong PM Anwar
Mengulas lanjut, Kamaruddin mengakui terkejut dengan keputusan Mohd Azizi yang bertindak mengeluarkan kenyataan menyokong kepimpinan Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook.
“Saya segera cuba menghubungi beliau namun tidak berjaya kerana kedua-dua telefon bimbit miliknya dimatikan.
“Justeru, saya menyerahkan kepada kepimpinan Pusat untuk mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Malam tadi, Mohd Azizi menjadi ahli Parlimen Bersatu terbaharu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri selepas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman.
Ahli Parlimen Gua Musang itu dalam kenyataan menyatakan keputusan itu bertujuan memastikan kebajikan penduduk terbela dan akan terus mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur sebagaimana yang dipohon untuk dilaksanakan di kawasan berkenaan.
Mohd Azizi memaklumkan, beliau juga menyatakan sokongan kepada inisiatif-inisiatif Kerajaan Perpaduan yang mengutamakan kebajikan rakyat negara ini sehingga pilihan raya umum akan datang.
Beliau yang bertanding atas tiket Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mencatat sejarah apabila menang di Parlimen Gua Musang dengan memperoleh majoriti 163 undi mengalahkan calon Barisan Nasional, Tengku Razaleigh Hamzah yang sebelum ini menyandang Parlimen berkenaan selama 11 penggal.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

