MUNCUL dengan single terbaru berjudul ‘Gagal Cinta’, kumpulan wanita The Gadys yang dibarisi dua anggota asal Aznie Azmi dan Ayunie Rizal kini dimantapkan lagi dengan muka baru iaitu Thamiera Chan.
Menurut Aznie, penambahan Thamiera di dalam The Gadys bagi mengisi posisi yang kosong sebelum ini sekaligus memberikan nafas baharu buat ‘girl band’ itu.

“Seperti yang sedia tahu, kami sebelum ini berempat, kemudian bertiga dan kami hormati keputusan Nelissa Nizam (ahli terdahulu) untuk keluar dari kumpulan ini dan fokus kepada karier lakonannya.
“Oleh itu, kami adakan sesi ujibakat tertutup dan daripada situ la kami menjumpai ahli baharu iaitu Thamiera,” katanya.
Dalam pada itu, Thamiera turut memberitahu walaupun baru empat bulan bersama dengan The Gadys, dia sudah selesa dan rapat dengan ahli terdahulu.
“Walaupun baru masuk empat bulan, tapi saya dah rapat dengan mereka ini sebab semua ‘masuk air’,” ujarnya.
Dalam pada itu, Thamiera juga sempat berkongsi walaupun ini debut pertamanya namun dia sudah biasa membuat persembahan sebelum ini.
Penyanyi berusia 20 tahun ini turut mendedahkan dia sering mengikuti ibu saudaranya iaitu penyanyi Stacy sejak kecil untuk membuat persembahan.
“Dari kecil lagi saya akan ikut makcik saya untuk menyanyi dan menari dan memang dari kecil saya dah tahu minat saya ke arah nyanyian.
Disoal mengenai perasaannya jika disamakan atau dibandingkan dengan ibu saudaranya, Thamiera akui dia tidak kisah dan percaya setiap penyanyi memiliki keunikannya sendiri.
“Saya tidak kisah sebab dia (Stacy) kan makcik saya bukan orang lain, lagipun setiap penyanyi itu ada kebolehan dan keunikkan sendiri yang ingin ditonjolkan.
“Stacy pun yang banyak ajar saya dari segi vokal dan teknik nyanyian memang apa yang dia minat itu, saya pun akan ikut minat,” ujarnya kepada URTV ketika temui di sidang media pelancaran lagu ‘Gagal Cinta’ di Universal Music Malaysia, hari ini.
Terdahulu, The Gadys terkenal menerusi single mereka berjudul ‘Gelek Jambu’ dan ‘Gadys Raya’. Mengekalkan konsep yang sama iaitu ‘sing along’ di dalam single terbaru mereka diharapkan mampu mendapat tempat di hati pencinta muzik di Malaysia.

