PENYANYI Iman Troye mendedahkan dia masih lagi mengalami trauma untuk memandu kereta selepas terbabit dengan kemalangan jalan raya pada 1 November lalu.
Ujar Iman atau Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin,21, dia kini terpaksa mencari alternatif lain seperti menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk memudahkan dia bergerak ke mana-mana lokasi.
“Sekarang saya tidak berani memandu sendiri dan memang 100 peratus mengharapkan Grab, keluarga dan kawan-kawan sahaja,” katanya menerusi perkongsian di Instagram.
Bercerita lanjut mengenai insiden tersebut, kenderaan yang dipandu penyanyi Teman itu secara tiba-tiba hilang kawalan disebabkan keadaan jalan raya yang licin ketika hujan lebat.
Disebabkan itu keretanya mengalami kerosakan teruk di bahagian tayar sebelah kanan.
“Alhamdulilah, saya selamat cuma Baby Noah (kereta) sudah ‘tempang’. Macam duduk antara dua sujud.
“Hari pertama November saya kemalangan. Hujan lebat dan jalan licin menyebabkan kereta saya gagal dikawal,” ujarnya.
Iman turut memberitahu dia juga mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan kepalanya terhentak di tingkap kereta.
“Cuma kecederaan kecil sahaja sebab kepala saya terhentak pada tingkap kereta.
“Kaki saya bengkak dan telinga bahagian kanan berdesing, terus tidak dengar apa-apa.
“Keesokannya pendengaran telinga kanan saya kurang berbanding pendengaran telinga kiri. Tapi sekarang Alhamdulillah, semuanya sudah kembali normal,” katanya.

