PENYANYI dan pelakon, Cat Farish mendedahkan terpaksa ‘berehat’ daripada menyertai karnival makanan buat sementara waktu selepas perniagaan itu berdepan perkara mistik.
Jelas Cat atau Farish Ramli, langkah tersebut terpaksa diambil selepas perniagaan makanannya bersama isteri, Shikin Maembong mengalami kerugian yang teruk sejak tiga bulan lalu sehingga memberi kesan kepada pendapatan mereka.
“Sebenarnya perniagaan saya dan isteri sejak akhir-akhir ni ada sedikit perkara yang tak ‘best’ berlaku. Kami alami perkara orang cakap benda tu buatan orang yang mana kami dikatakan terkena di salah satu acara yang kami sertai.
“Selalunya jualan kami lebih 200 kilogram (kg) hingga 300 kg pisang akan digunakan. Tapi sekarang ini nak 50kg pun tak habis dijual,” katanya kepada URTV.
Cat berkata demikian ketika ditemui di sidang media Malaysia Hobby Expo 2023 yang berlangsung di Hotel Royal, Kuala Lumpur, semalam.
Jelas Cat, pada awalnya dia enggan mempercayai perkara mistik yang berlaku terhadap bisnesnya namun selepas beberapa kali terjumpa duit syiling di salah sebuah ‘booth’ jualan mereka di Kedah, dia mulai rasa sesuatu yang pelik.
“Saya bukanlah nak percaya sangat tapi tiba-tiba ada terjumpa banyak duit syiling tapi saya jadi peliklah sebab perniagaan saya tak guna banyak syiling pun.
“Lebih pelik lagi ada duit syiling dari Thailand. Saya memang tak berani nak pegang duit syiling tersebut. Tapi selepas merujuk hal tersebut dengan ustaz, dia minta saya ambil duit syiling itu dengan tangan yang sudah berlapik dan kumpulkan dalam satu bekas bertutup.
“Ada orang kata bila ada duit syiling di lokasi kita berniaga, ia petanda kita terkena buatan orang. Bukan itu saja, ada juga insiden di mana pekerja saya mengalami bengkak-bengkak di bahagian kaki. Ada juga pelanggan yang kata tak nampak kedai kami, mereka cakap kedai kami tutup,” ujarnya.
Enggan mengambil risiko lain, Cat dan isteri membuat keputusan untuk tidak menyertai mana-mana karnival usahawan buat sementara waktu dan kini menjalankan perniagaan dari rumah sahaja.
“Saya dan isteri tarik diri buat sementara dari menyertai karnival usahawan. Kini kami berniaga dari rumah saja. Alhamdulillah, setakat ini okay saja.
“Saya takut sebenarnya perkara ini akan beri kesan kepada rumah tangga saya dan isteri. Sebab itulah kami buat pilihan untuk berhenti seketika.
“Isteri saya pernah muntah dan keluar seperti helaian rambut yang berantai. Bila tanya orang terdekat, mereka kata perkara ini biasalah bikla orang lain tak suka tengok kita senang.
“Kami juga dah kurangkan dan jarang berkongsi di media sosial sebab risau jika ada yang tak senang hati dengan perkongsian kami tu,” jelasnya.
Sementara itu, Shikin yang turut berada di sisi Cat sepanjang ditemubual wartawan, turut berkongsi keadaan kesihatannya selepas berdepan perkara mistik.
“Saya dah lama tak kena serangan asma. Tapi, sejak perkara misteri menganggu perniagaan dan rumah tangga kami, tiba-tiba saya kena serangan asma semula dan terpaksa menggunakan bantuan alat oksigen.
“Saya akui, saya memang menangis atas apa yang berlaku kerana ia membabitkan usaha dan kerja saya dalam perniagaan.
“Saya dan Cat akan duduk berbincang semula untuk merombak semula apa yang patut dalam perniagaan kami. Sebab bukan keuntungan yang kami bawa pulang tetapi lebih kepada kerugian,” jelasnya.
Cat yang juga ahli kumpulan Ruffedge akan mengadakan persembahan di Konsert Passion of Sound pada 2 Disember ini, yang juga menjadi sebahagian daripada kemuncak acara Malaysia Hobby Expo 2023.
Malaysia Hobby Expo 2023 akan berlangsung pada 2 dan 3 Disember itu akan turut menyaksikan persembahan artis popular iaitu Gerhana Ska Cinta, Insomniacks, Saixse dan Hujan.